Tarikh 26 Februari (Rabu) telah ditetapkan bagi menjayakan aktiviti gotong royong pertama pada tahun ini di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Puan Marlina Binti Kasiman, selaku Pustakawan Kanan yang bertanggungjawab memberikan taklimat ringkas berkaitan gerak kerja pembersihan kawasan/ruang perpustakaan mengikut pembahagian kumpulan yang telah diberikan bagi memastikan aktiviti ini berjalan dengan lancar dan sistematik selain dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Gotong-royong kali ini memfokuskan beberapa kawasan tumpuan pengguna perpustakaan. Kawasan pertama ialah surau pelajar perempuan dan lelaki. Antara tugasan yang dilakukan adalah membersihkan tempat mengambil wuduk dan menyusun atur serta memperkemaskan peralatan solat seperti sejadah dan telekung. Kawasan kedua melibatkan aktiviti mebersihkan tandas staf lelaki di aras 2 dan memperbaiki beberapa kerosakan kecil dikawasan berkenaan oleh kumpulan yang terlibat.
Kawasan ketiga merupakan tempat yang kerap dikunjungi oleh pengguna perpustakaan iaitu R.E.A.D Cafe dan Wisdom Lounge. Oleh itu kumpulan yang terlibat telah melakukan aktiviti membuang habuk dan menyusun atur perabot di ruang tersebut bagi memastikan ianya sentiasa bersih dan kemas untuk kegunaan para pengguna.
Kawasan keempat adalah Taman Lestari iaitu melakukan kerja-kerja mengalihkan pokok-pokok yang telah layu dengan mengantikan pokok yang lain bagi menyegarkan pandangan pengunjung perpustakaan dan staf kerana kawasan ini merupakan kawasan pertama yang dilewati oleh pengguna untuk masuk ke perpustakaan. Sesi gotong-royong ini selesai menjelang waktu tengahari dan diharapkan aktiviti ini dapat dilakukan dengan lebih kerap lagi agar kebersihan kawasan kerja terjamin dalam mewujudkan ruang kerja yang selesa, bukan sahaja kepada staf namun juga kepada pengunjung perpustakaan.
Disediakan oleh Puan Aznurul Ain binti Abduk Shukor.