Seperti lazimnya, Program Book Sharing Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) diteruskan lagi bagi siri yang ke 10 pada 9 Julai 2020. Program yang bermanfaat ini diadakan menggunakan platform Webex dan dipancarkan secara live ke Facebook UTM Library Kuala Lumpur.

Dua pengulas yang terlibat kali ini ialah Cik Sharifah Naurah Alhabshi Syed Hamid, Penolong Akauntan dari Pejabat Bendahari, UTM KL dan En. Yushaini Mohd Yunus, Penolong Pegawai Sains dari Jabatan Timbalan Naib Canselor.

Pengulas pertama yang membuat ulasan adalah Cik Sharifah Naurah Alhabshi Syed Hamid dengan memilih buku yang bertajuk “Bajet Power” (Simpan dan Labur Gaya Orang Muda), penulis Harith Faisal. Menurut pengulas, buku ini menceritakan dan menerangkan tentang tips pengurusan kewangan dan juga sedikit sebanyak tentang pelaburan. Ujarnya lagi, penulis sangat menekankan kepentingan mempunyai tabung simpanan bagi setiap individu serta kepentingan mempunyai kemahiran menguruskan kewangan yang baik. Selain itu, turut diselitkan beberapa perkara yang perlu di lakukan serta yang tidak sepatutnya di lakukan untuk menguruskan kewangan dengan efisien.

Di akhir perkongsian ini, pengulas mengharapkan agar hadirin mendapat manfaat dari perkongsian beliau dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

Encik Riza ‘Aizat Adib sebagai moderator Program Book Sharing Siri 10/2020

Seterusnya moderator program, Riza ‘Aizat Adib menjemput pengulas kedua iaitu En. Yushaini Mohd Yunus untuk berkongsi buku yang dipilih bertajuk “Hidup Bukan Sekadar Pasrah” (Kumpulan Puisi) hasil karya oleh Sarimah Abu Bakar.

Menurut beliau, buku ini menampilkan 85 buah puisi indah yang meliputi pelbagai tema kehidupan, hidup bukan sekadar pasrah, sastera melentur nurani manusia dan sebagainya. Menurut penulis, hatinya berbunga-bunga sesegar bunga di taman apabila buku puisi ini dapat disiapkan setelah menunggu berpuluh-puluh tahun lamanya. Proses dalam menyiapkan bahan ini tidaklah semudah yang disangka penulis pada awalnya. Akhirnya, dengan izin-Nya, mimpi menjadi kenyataan. Sebelum menamatkan perkongsian, pengulas berharap agar buku puisi ini dapat menenangkan jiwa dan hati para pembaca dengan susunan indah bait-bait puisi dari penulis.

 

 

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain Bt Abdul Shukor.

 

 

Share this :