Oleh Khairun Nadzrah Binti Khalid
Pada 27 Februari 2019, bertempat di Ruang Interaktif, Aras 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah diadakan satu sesi bersama penulis iaitu Tuan Zabidi Mohamed, pengarang buku bertajuk Arqam: Tersungkur di pintu syurga dan Maunah: Kebenaran yang sebenar. Program yang berlangsung selama 2 jam ini telah dihadiri oleh pelajar serta warga UTM Kuala Lumpur.
Sesi yang diberi tajuk Taksub dalam Pemikiran Melayu membincangkan mengenai sifat taksub di kalangan masyarakat Melayu yang semakin membimbangkan. Di dalam sesi ini juga penulis berkongsi mengenai sejarah latar belakang penubuhan kumpulan al-Arqam serta bagaimana golongan profesional boleh terlibat dengan kumpulan tersebut. Penulis juga menceritakan bagaimana satu organisasi Islam yang besar boleh berubah sehingga difatwakan sesat pada tahun 1994. Selain itu, dikongsikan juga mengenai kumpulan militan Al-Maunah yang diasaskan oleh bekas pengikut Arqam serta cerita disebalik tragedi di Bukit Jenalik.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab di mana penulis memberikan beberapa langkah untuk mengelakkan diri daripada menjadi taksub dalam hal berkaitan agama. Salah satu cara ialah berguru dengan lebih dari seorang guru supaya berlaku proses check and balance. Turut diadakan aktiviti jualan buku-buku tulisan Penulis di sepanjang tempoh program berlangsung.
Semoga perkongsian di dalam sesi kali ini dapat memberikan ikhtibar dan pengajaran kepada hadirin untuk menggunakan akal fikiran yang diberikan oleh Allah s.w.t dengan baik dan tidak terlalu taksub terutamanya di dalam bidang berkaitan agama yang boleh membawa kepada kesesatan.