Bersempena dengan program Research Week 2020, Perpustakaan UTM telah mengundang Dr Johari Surif, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), UTM sebagai tetamu dalam satu sesi K-Sharing khas  pada 20 September 2020 yang dipancarkan secara langsung ke Facebook Perpustakaan UTM. Topik bertajuk “Libatsama Komuniti & Industri Berimpak” ini mengupas peranan dan tanggungjawab CCIN sebagai pemangkin dalam usaha memasyarakatkan penyelidikan demi kecemerlangan UTM dan kesejahteraan masyarakat. CCIN berperanan sebagai penghubung dalam usaha meneroka ruang sinergi di antara UTM dan organisasi luar, industri dan  komuniti. Selain itu, pihak CCIN turut mendekati komuniti melalui program khidmat masyarakat  kepada pelbagai golongan yang memerlukan seperti nelayan, masyarakat orang asli, ibu-ibu tunggal, malahan gelandangan.

Prof. Madya Dr. Johari Surif Pengarah Centre for Community & Industry Network (CCIN), UTM Selaku Penceramah Bagi Sesi K-Sharing

UTM mengambil tanggungjawab menyumbang kepakaran penyelidikan kepada masyarakat setempat dengan memberikan mereka bimbingan serta tunjuk ajar sehingga mereka berupaya meningkatkan ekonomi keluarga serta memperbaiki kehidupan seharian. Secara tidak langsung, UTM memandang serius permasalahan masyarakat dan sentiasa berusaha menyantuni keperluan mereka. Sebagai contoh, musibah pencemaran di Sungai Kim Kim telah menyebabkan pencemaran air dan udara malah mengakibatkan lebih 6000 orang terkesan dan 111 buah sekolah terpaksa ditutup. UTM melalui CCIN telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk menjadikan Sungai Kim Kim sebagai sebuah kawasan rekreasi. Adalah diharap agar aspirasi ini dapat diteruskan demi kesejahteraan sejagat.

 

 

Share this :