Perkongsian buku staf perpustakaan UTM Kuala Lumpur (KL) bagi siri 8  telah diadakan di Bilik Mesyuarat Perpustakaan UTM KL pada 23 September 2020 (Rabu), jam 10.00 pagi. Perkongsian telah dibuat oleh dua orang Pembantu Pustakawan iaitu Puan Aznurul Ain Binti Abdul Shukor dan Encik Riza Aizat Bin Adib.

Pengulas pertama, Puan Aznurul Ain Binti Abdul Shukor dengan buku yang bertajuk 100 Akhlak Mulia oleh Dr. Hasan Hj. Mohd Ali. Menurut pengulas, buku ini menghuraikan akhlak-akhlak yang baik untuk dicontohi dan wajar dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim. Antara yang menarik perhatian pengulas adalah adab untuk memasuki rumah di mana orang Islam digalakkan memberi salam dan seterusnya bersalaman dengan anggota keluarga yang berada di rumah bagi mengeratkan silaturahim.

Selain itu, beliau juga berkongsi adab ketika menjamu hidangan iaitu memandang hidangan yang berada di depan mata dengan penuh kesyukuran. Selain itu, buku ini menggariskan untuk memastikan hidangan makanan dan minuman dimakan serentak bersama-sama  kesemua ahli keluarga. Di dalam adab makan dan minum, sunnah Rasulullah SAW menyarankan agar makan sebelum lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Secara kesimpulannya, pengulas berpendapat bahawa buku ini boleh dijadikan sumber rujukan dan panduan setiap orang bagi meningkatkan kesopanan dan silaturahim sesama keluarga, rakan dan masyarakat.

Pengulas seterusnya iaitu En. Riza Aizat Bin Adib yang memilih buku bertajuk Stop Doing That Sh*t hasil karya Gary John Bishop. Menurut pengulas, buku ini dapat memberi impak dalam kehidupan seharian kita dengan menghayati intipati yang disampaikan oleh penulis iaitu cara untuk berhenti mensabotaj diri sendiri.  Sekiranya pembaca memahami, ilmu yang diperoleh dapat menghalang daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Kaedah psikologi yang dikongsi oleh penulis mampu membantu kita berhubung dengan mesin psikologi kita sehingga kita belajar untuk membuang tingkah laku negatif sebelum mereka bermula, yang membolehkan kita memberi perhatian kepada perkara lain, dan mula menemui kejayaan di bidang yang kita fikir tidak pernah dapat kita lakukan.

Buku ini mengajar pembaca untuk menilai kesan baik dan buruk setiap perlakuan atau keputusan yang dibuat. Penulis turut menyatakan hanya individu berkenaan benar-benar memahami setiap perkara yang dilakukan. Setiap orang berhak mengeluarkan diri dari belenggu negatif dan membuat perkara luar daripada biasa.

Share this :