Program Bicara Karya – Meja 17 ini adalah Program Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sinergi bersama Persatuan Alumni UTM. Program ini telah menjemput tetamu istimewa iaitu Dr. Irwan Abu Bakar yang merupakan ahli alumni UTM pada tahun 1972 untuk berkongsi berkenaan hasil tulisan beliau sendiri yang bertajuk “Meja 17”. Perkongsian telah dibuat menggunakan platform Webex dan disiarkan secara LIVE di halaman Facebook UTM Library Kuala Lumpur.
Penulis berasal dari Segamat, Johor ini merupakan Profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya sehingga Januari 2018. Kini beliau telah bersara sebagai profesor dan dilantik sebagai Research Associate di Jabatan yang sama. Beliau mempromosi konsep “whole-brain thinking” sebagai jurutera yang terlibat secara aktif dalam bidang sastera.
Buku yang bertajuk “Meja 17” telah diterbitkan sehingga edisi ke 5 (2018). Edisi pertama adalah bertajuk “Cinta Berbalas di Meja 17” kerana pada ketika itu menurut beliau, bacaan yang tidak mengandungi perkataan ‘cinta’ tidak akan menarik minat orang untuk membeli.
Bukanlah satu novel biasa, ini adalah novel antiplot di mana ceritanya tidak bersambung-sambung dari awal hingga akhir. Sebuah penceritaan yang menarik, setiap cerita yang disampaikan, jalan cerita pengakhirannya adalah sesuatu yang tidak disangka dan di luar jangkaan kita.
Pada mulanya, cerita ini mengandungi 17 cerita yang berlainan, tetapi kemudiannya ia ditambah 1 lagi bab yang dipanggil oleh beliau sebagai bab 17+1 (bab 18). Perkara yang menjadikan ianya sebuah novel adalah kesemua 18 cerita ini berlaku di restoran eSastera, Kuala Lumpur di meja 17. Mendapat banyak sambutan dimana buku ini juga telah diulas oleh banyak pihak.
Terima kasih Dr. atas perkongsian menarik dan akhirnya misteri tajuk “Meja 17” dapat dihuraikan dan dikongsi bersama pengikut Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Semoga ia memberi manfaat dalam kehidupan kita seharian.