Sesi Read & Relax Siri 8/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 14 Mei 2020 secara Webex. Sesi kali ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Encik Masnawi Bin Miskam dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hafizah Binti Syed Ariffin.

Pengulas pertama, Encik Masnawi Bin Miskam, Pegawai Tadbir, Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) mengulas buku berjudul “Cerita Bangsa Gemok” oleh Rafiuddin Rabu. Buku ini merupakan milik pengulas yang dibeli secara atas talian di Shopee dengan harga RM20. Buku ini menceritakan pelbagai aspek kehidupan insan-insan gemuk dan penulis mendefiniskan perkataan gemok berbeza mengikut pandangan orang. Penulis ada membuat kenyataan sinis  terhadap sebilangan kaum wanita kerana mengikut mereka berat ideal adalah 30 kilogram ke bawah dan sekiranya lebih akan dikira gemuk.

Waktu berswafoto pula, mereka sanggup bermuncung itik dan mengempiskan pipi hanya kerana ingin kelihatan tampak lebih kurus. Mereka juga sanggup makan salad kerana ingin kurus dan apabila gemuk sedikit, mereka akan terus kemurungan, berasa tertekan kerana orang lain lebih kurus tetapi menurut penulis orang sekeliling yang terlalu kurus. Orang selalu beranggapan orang gemuk kuat makan tetapi sebenarnya tidak tepat. Terdapat banyak faktor penyebab gemuk selain daripada pemakanan, di antaranya adalah kadar metabolisme tubuh badan yang rendah. Dari segi pakaian pula, sejak kecil orang gemuk sukar untuk mendapatkan pakaian yang bersesuaian, contohnya tidak merasa memakai pakaian sukan. Mereka juga fobia untuk berjumpa doctor kerana doktor akan menasihati mereka secara panjang lebar kerana gemuk. Bangsa gemuk ini juga mengalami kesukaran apabila berada di ruangan yang sempit, contoh kerusi di bilik kuliah, bilik persalinan baju, ruangan dalam kapal terbang.

Hasil pembacaan buku ini, pengulas merasakan keyakinan diri bertambah, rasa lebih terbuka dan dapat merasakan yang tidak perlu untuk terlalu merendahkan diri berbanding orang yang lebih kurus. Buku ini mungkin dapat membuka minda pembaca tentang pentingnya untuk menghormati dan tidak melabelkan seseorang hanya berdasarkan fizikal mereka semata-mata. Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Gaya penulisan pengarang bersahaja dan pilihan ayat-ayatnya mudah. Menurut pengulas pengarang menggunakan terma-terma milenia yang sesetengahnya agak kasar kerana kemungkinan besar sasaran bahan adalah golongan muda. Namun begitu, sebahagian ianya amat mudah untuk difahami.

Pengulas kedua iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Hafizah Binti Syed Ariffin, Bahagian & Jabatan: Pusat Kepimpinan Akademik UTM mengulas buku berjudul “Ainuddin Pejuang ‘Degil’ Melayu” oleh Fatini Yaakob. Buku ini mengisahkan perjuangan Tan Sri Ainuddin Wahid yang mengangkat anak bangsanya dalam pendidikan teknikal dan juga menyingkap sejarah yang dilakukan oleh beliau sehingga tertubuhnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Bermula dengan latarbelakang pendidikannya yang cemerlang serta keghairahan untuk menjadi jurutera telah mendorong beliau menjejakkan kaki ke Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Yang menariknya, beliau juga merupakan anak Melayu pertama yang diamanahkan dan dilantik sebagai pengetua MTKL oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdul Razak. Dari situlah titik tolaknya permulaan beliau terdorong untuk membantu lebih ramai anak bangsa Melayu dilahirkan sebagai jurutera kerana pada ketika itu sangat kekurangan jurutera berbangsa Melayu. Selain dari memperjuangkan pendidikan anak bangsa Melayu, beliau juga merupakan orang yang telah menjadikan Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) dinaiktaraf menjadi Institut Teknikal Kebangsaan (ITK) dan akhirnya menjadi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada hari ini. Beliau juga banyak memberikan idea dalam merekabentuk senibina bangunan, landskap dan juga logo UTM yang mana banyak diterapkan ciri-ciri Islam dan kemelayuan.

Begitulah hebatnya tokoh berjiwa kental ini yang boleh kita gelarkan sebagai ‘Bapa’ kepada UTM. Buku ini dirasakan amat dekat dihati pengulas kerana beliau berkhidmat di UTM sebagai tenaga pengajar.  Ia juga boleh dijadikan sebagai dorongan dan semangat untuk meneruskan legasi perjuangan untuk pendidik dalam mendidik anak bangsa Melayu supaya terus cemerlang. Kisah dalam buku ini mungkin dapat dijadikan inspirasi dan memberikan ilham tentang perlunya seseorang itu mempunyai semangat juang yang tinggi dalam berusaha membantu anak bangsa sendiri selain pentingnya menerapkan nilai-nilai Islam dan kemelayuan sebagai usaha untuk meningkatkan jati diri. Gaya penulisan dan susunan penceritaan yang menarik membuatkan pembaca tidak jemu. Bahasa yang digunakan juga mudah untuk difahami.

 

Share this :