Bicara Informasi Bersama Pustakawan adalah program sinergi bersama Hari Kokurikulum Mingguan UTM serta Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM Kuala Lumpur yang diadakan pada 24 Februari 2021 (Rabu), jam 2.30 petang. Program diadakan secara atas talian menggunakan aplikasi WEBEX telah dihadiri oleh pelajar UTM dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Tiga orang Pustakawan yang terlibat sebagai fasilitator kepada program dengan tema “Anda Tanya, Kami Jawab” adalah Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid, Puan Marlina Binti Kasiman dan Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee.
Intipati program dirangka mengikut kesesuaian dan keperluan dalam norma baharu ini dengan menekankan beberapa aspek penting kepada pelajar mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di perpustakaan samada secara fizikal atau atas talian. Di awal program pelajar didedahkan dengan latar belakang perpustakaan dengan tayangan video lokasi dan ruang-ruang di perpustakaan. Seterusnya penerangan mengenai bahan langganan atau akses terbuka atas talian yang sedia di akses bagi membantu pelajar mendapatkan maklumat dan data untuk menyokong pembelajaran dan penyelidikan. Tidak ketinggalan, pelajar turut dimaklumkan dengan perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di perpustakaan supaya dapat mengoptimumkan penggunaannya mengikut tempoh yang ditetapkan. Selain itu, aspek penggunaan media sosial yang merupakan medium bagi perpustakaan berinteraksi dan berkongsi maklumat kepada pengguna dengan pantas, mudah dan cepat.
Latihan ringkas turut diberikan kepada pelajar untuk menggunakan portal perpustakaan sebagai teras maklumat bagi pencarian bahan seperti buku, jurnal, buku elektronik serta penggunaan Document Management System (DMS) untuk mendapatkan teks penuh tesis, soalan-soalan peperiksaan lepas dan sebagainya. Program diakhiri dengan kuiz yang menggunakan aplikasi Kahoot bagi menilai kefahaman pelajar terhadap maklumat yang disampaikan. Seramai tiga orang pelajar telah menjawab soalan secara cepat dan tepat dipilih untuk memenangi hadiah yang disediakan. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan kepada semua pelajar.