Program BookSharing@UTMKL 2021 bagi siri 5 dijalankan secara siaran langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur (UTM KL) pada 11 Mac 2021 (Khamis) jam 10.00 pagi. Dua orang pengulas telah dijemput iaitu Encik Mohd Amir Hamzah, Penolong Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti, UTM KL dan Encik Muhammad Adlan Bin Abdul Halim, Penolong Pegawai Sains, Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHE), UTM KL.

Moderator iaitu Puan Sharifah Radhiah Binti Syed Azman, Pustakawan memulakan program dengan pengulas pertama, Encik Mohd Amir Hamzah untuk berkongsi buku bertajuk Manual Pertolongan Cemas ditulis oleh Manual Rasmi UK. Menurut beliau, buku ini merupakan satu panduan yang menyeluruh dalam menghadapi situasi kecemasan. Buku ini menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dan mempunyai ilustrasi bergambar yang diterjemah daripada buku ‘First Aid Manual’. Secara keseluruhannya, buku ini dapat membantu pembaca untuk bersedia dan mengambil langkah awal sekiranya terdapat kemalangan yang berlaku atau perkara yang menimpa secara tiba-tiba.

Encik Mohd Amir Hamzah mengulas sebuah buku bertajuk Manual Pertolongan Cemas

Program diteruskan lagi dengan pengulas kedua iaitu Encik Muhammad Adlan Bin Abdul Halim yang memilih buku Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan ditulis oleh Mohamad Azlan Al Amin. Menurut pengulas, buku ini menceritakan kisah kehidupan penulis sendri iaitu Tuan Mohamad Azlan dari seorang yang miskin tegar berubah menjadi jutawan selepas menceburi bidang hartanah. Latar belakang akademik beliau tidak begitu memberansangkan dan pernah menyambung pengajian di kolej, namun terpaksa berhenti di atas tuntutan untuk membantu keluarganya. Bertitik tolak dari itu, beliau mula mencari rezeki sebagai pengutip sampah dan mencuba pelbagai pekerjaan yang lain. Selain itu, beliau juga berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk cuba mencari kehidupan yang lebih baik.

Encik Muhammad Adlan Bin Abdul Halim mengulas sebuah buku bertajuk Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan

Kemuncaknya dengan izin Allah swt beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai ejen tanah lot harta tanah yang membawa perubahan besar kepada kehidupan dan masa depannya. Dalam buku ini beliau mengingatkan para usahawan tentang kepentingan berguru dan mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman bagi mengekalkan kecemerlangan dalam bidang yang diceburi kerana orang yang berjaya lebih banyak menghadapi kegagalan. Namun, berusahalah kerana setiap usaha itu pasti akan diberikan kejayaan oleh Allah S.W.T.


Menurut beliau, buku ini sangat memberi inspirasi kepada diri beliau dan seharusnya semangat untuk mengubah nasib diri dan keluarga perlu diperjuangkan agar memberi kesenangan hidup di masa – masa yang mendatang.

 

 

Share this :