Pada 25 Mac 2021 (Khamis) telah berlangsungnya Program BookSharing@UTMKL 2021 untuk siri ke 6. Program ini diadakan secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dengan menggunakan aplikasi streamyard. Dua orang pengulas dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTMKL telah dijemput untuk memberi perkongsian kepada buku yang dibaca.

Sebagai memulakan majlis, Encik Mohd Azalan Bin Mod Lazim selaku moderator menjemput pengulas pertama Encik Mohd Amin bin Hassan. Beliau memilih buku Buat Duit Dengan Baiki Handphone yang ditulis oleh Asyraff Hafdzan Abdullah. Buku ini merupakan panduan yang penuh dengan dengan informasi untuk membaiki sendiri telefon bimbit dengan menggunakan peralatan yang sesuai dan lengkap. Turut dikongsikan di dalam buku ini adalah mengenai cara-cara untuk mencari alat ganti telefon bimbit samada dari kedai atau secara atas talian.

Encik Mohd Amin bin Hassan mengulas sebuah buku bertajuk Buat Duit Dengan Baiki Handphone

Menariknya buku ini juga menyenaraikan kos-kos lain yang perlu dititikberatkan seperti ‘business card’, kos mendaftar perniagaan, kos dalam mendapatkan kemahiran dan kos peralatan bagi melengkapkan diri serta  asas maklumat untuk menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang ini. Sebelum mengakhiri perkongsian, pengulas secara teknikal menjalankan demonstrasi bagi menunjukkan bahagian atau komponen – komponen penting dalam telefon bimbit yang wajib diketahui.

Puan Siti Zalita binti Ad Talib mengulas buku bertajuk Ya Allah Jangan Biarkan Aku Sendiri

Perkongsian diteruskan dengan menjemput Puan Siti Zalita binti Ad Talib yang buat kali kedua bagi beliau mengulas buku di program ini. Pada sesi ini, buku pilihan beliau bertajuk Ya Allah Jangan Biarkan Aku Sendiri, ditulis oleh Ustazah Asma Harun. Buku ini mengandungi 14 topik berkenaan sifat yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik pelindung. Terdapat juga satu topik di dalam buku ini iaitu  ‘Ustazah nak cerita’ yang membongkar kisah-kisah benar yang dapat memberikan impak luar biasa kepada pembaca.

Pengulas turut mengupas topik yang terdapat dalam buku ini yang menyarankan untuk membaca Al-Quran setiap hari sebagai pedoman dan menyedari hakikat kita semua adalah hamba Allah serta berkongsi cara untuk muhasabah diri bagi mempersiapkan diri untuk solat ketika mendengar azan, tidak tegesa-gesa dalam mengerjakan solat, fahami bacaan dalam solat, dan beramal soleh mengikut sunnah Rasulullah.

Di akhir perkongsian ini, pengulas menyimpulkan bahawa buku ini perlu dibaca sebagai rujukan dan panduan dalam menempuh dugaan dan cabaran sebagai khalifah di atas muka bumi Allah SWT.

Share this :