Siri keenam program Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 29 April 2021 dengan menjemput dua (2) orang pengulas iaitu Ts Dr. Azlin Binti Abd Jamil, Pegawai Tadbir, Pusat Inovasi dan Pengkomersilan, UTM. Manakala pengulas kedua iaitu Puan Hjh Noor Hadayah Binti Hj Ahmad, Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling, UTM.
Pengulas pertama, Ts Dr. Azlin Binti Abd Jamil telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Changing Minds: The Art and Science of Changing Our Own and Other People’s Minds hasil karya Howard Gardner. Buku ini merupakan hasil tulisan seorang pakar psikologi yang telah menjalankan banyak kajian tentang pemahaman manusia dalam membuat keputusan. Pengulas menyatakan bahawa buku ini menarik minatnya kerana ia berkait rapat dengan kerjayanya sekarang. Buku ini banyak membantu pengulas dan rakan sekerjanya meraih ilmu serta kepakaran dalam meyakinkan golongan penyelidik dan pemain industri terhadap produk-produk hasil penyelidikan UTM. Terdapat banyak pengajaran, teknik serta teori untuk menguasai pemikiran orang lain dan seterusnya mampu meyakinkan mereka tentang idea yang dibawa.
Walaupun bahasa dan gaya penulisan yang digunakan agak standard namun ianya masih boleh difahami dan memberi manfaat kepada semua peringkat pembaca. Pengulas dapat membuat kesimpulan bahawa dalam usaha untuk meyakinkan seseorang, ia perlu bersandarkan kepada integriti. Dalam erti kata lain, jangan terlalu terdesak untuk meyakinkan seseorang sehingga terjebak dengan penipuan.
Manakala pengulas kedua, Puan Hjh Noor Hadayah Binti Hj Ahmad telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Hari Raya dan Cara Merayakannya. Buku ini ditulis oleh Haji Selamat bin Hashim yang merupakan mantan Pengarah Akademi Tamadun Islam di UTM. Diterbitkan pada tahun 2008 oleh Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan, Majlis Agama Islam, Johor Bahru. Pengulas berpendapat bahawa perkongsian ini merupakan waktu yang sangat tepat untuk umat Islam merubah norma sambutan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan sunnah dan amalan yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW.
Antaranya, sunnah bagi umat Islam mengenakan pakaian yang bersih dan elok walaupun bukan yang baharu. Allah swt telah menganugerahkan malam terakhir Ramadhan dengan Lailatul Jaizah. Umat Islam digalakkan untuk memanfaatkan malam itu dengan laungan takbir bermula dari selesainya solat maghrib sehinggalah selesai solat hari raya keesokan harinya. Umat Islam juga dituntut untuk menjamah hidangan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, sentiasa bertakbir dalam perjalanan ke masjid, solat secara berjemaah, bersalaman dan bertegur sapa dengan para jemaah yang hadir. Dalam perjalanan pulang ke rumah, sunat hukummya untuk memilih jalan yang jauh supaya dapat bertemu dengan lebih ramai orang di pagi raya. Banyak lagi amalan-amalan sunnah yang digariskan dalam syariat Islam supaya Aidilfitri dapat disambut dengan penuh kasih sayang dan meraikan kemenangan dalam kesederhanaan.