Siri kesepuluh program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 15 Julai 2021 dengan membawakan 2 orang pengulas iaitu Encik Mohamad Jais Bin Mohd Jamil yang merupakan Penolong Jurutera, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, UTM. Manakala pengulas kedua iaitu Encik Mohamad Admin Bin Sadali adalah seorang Pembantu Pustakawan, Seksyen Perkhidmatan Maklumat, Penyelidikan & Sirkulasi, Jabatan Perpustakaan UTM.

Encik Mohamad Jais Bin Mohd Jamil mengulas buku bertajuk Protokol dan Etiket dalam Pengacaraan Majlis.

Encik Mohamad Jais Bin Mohd Jamil selaku pengulas pertama, telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Protokol dan Etiket dalam Pengacaraan Majlis yang dikarang oleh Mokhtar Mohd Tohar. Buku yang diterbitkan pada tahun 2006 dan mempunyai 291 muka surat ini sering menjadi rujukan beliau dalam menggalas tugas sebagai pengacara majlis. Pengulas menyatakan beliau turut terlibat secara langsung dalam penghasilan buku tersebut. Berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang pengacaraan, keyakinan diri, suara dan juga bakat merupakan kriteria penting. Latihan yang intensif dan berterusan diperlukan bagi mengasah ‘geliga suara’ yang akan memberi impak ke atas kualiti lontaran suara dalam pengacaraan.


Pengulas juga turut berkongsi pengalaman beliau sebagai pengacara majlis. Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah penyediaan skrip mengikut protokol dan etiket yang bersesuaian mengikut majlis yang dianjurkan. Selain itu, pengulas juga berkongsi amalan beliau sendiri untuk menangani perasaan gugup. Seorang pengacara juga perlu bijak mengendali serta mengawal majlis sekiranya berlaku masalah teknikal supaya keadaan kekal tenang dan terkawal. Ternyata tugas pengacaraan majlis memerlukan kemahiran dan ilmu yang tinggi. Kekuatan seorang pengacara bukan hanya terletak pada kelunakan suara tetapi aura positif yang dipersembahkan ketika pengendalian majlis agar ia sampai tepat ke hati para hadirin. Latihan yang berterusan, fokus serta teknik pernafasan yang betul amat perlu dalam mengekalkan kualiti intonasi suara agar pengacaraan berlangsung dengan baik.

Encik Mohamad Admin Bin Sadali mengulas buku bertajuk Panduan Pengacaraan Majlis Dan Pengurusan Majlis Rasmi.

Pengulas seterusnya pula adalah Encik Mohamad Admin Bin Sadali yang berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Panduan Pengacaraan Majlis Dan Pengurusan Majlis Rasmi oleh Dr. Haji Mohd Razak Bin Mohd Nordin. Buku ini dijadikan sebagai rujukan dan panduan beliau sebagai pengacara majlis. Buku ini memberi panduan mengacara serta mengurus sesebuah majlis rasmi atau tidak rasmi termasuk contoh himpunan doa, skrip ucapan pengacaraan dan juga himpunan pantun.


Pengulas mengakui bahawa seorang pengacara itu haruslah bijak, mempunyai kualiti suara yang baik, fasih berbahasa dan perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal agar tidak panik ketika menghadapi sesuatu di luar perancangan. Selain itu, pengacara juga haruslah mempunyai sebutan serta lontaran suara yang jelas dalam menyampaikan setiap bait perkataan agar dapat menghidupkan suasana sesebuah majlis. Memiliki suara yang lunak merupakan anugerah tuhan dan ia menjadi nilai tambah kepada seorang pengacara majlis. Pengulas juga turut berkongsi tips penjagaan suara yang perlu dititikberatkan terutamanya beberapa hari sebelum majlis berlansung.

Bidang pengacaraan sememangnya bukan suatu tugas yang mudah dan memerlukan latihan berterusan. Pengalaman mengacara akan mendewasakan seorang pengacara dan kejayaan majlis menjanjikan kepuasan yang tidak terhingga.

Share this :