Librarian’s Talk anjuran Perpustakaan UTM telah diadakan pada 11 Ogos 2021 secara lansung melalui FB Live Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library TV. Program yang julung kali diadakan merupakan program baharu dan merupakan siri pertama menampilkan Pustakawan Perpustakaan UTM dalam perkongsian pengalaman kerja kepada warga UTM serta komuniti setempat. Program siri pertama ini menampilkan Encik Md Razib bin Karno, Ketua Seksyen Automasi Perpustakaan UTM selaku penceramah dan Encik Yusrul bin Hisham, Pustakawan Kanan, Seksyen Automasi selaku moderator. Program berlangsung lebih daripada satu jam berkongsi hala tuju Pustakawan ICT dan pengalaman penceramah sebagai Ketua Seksyen Automasi di Perpustakaan UTM.

Penceramah memulakan perkongsian dengan sejarah perkembangan ICT di Perpustakaan UTM di mana ianya bermula dengan penggunaan kad katalog pada tahun 1973. Penggunaan sistem bermula pada tahun 1987 dengan sistem Berlian, diikuti dengan sistem Dynix pada tahun 1991, sistem Advance pada tahun 2001 dan sistem Symphony pada tahun 2010. Pada tahun 2020, Perpustakaan UTM mengorak langkah berani dengan menggunakan sistem dari sumber terbuka iaitu KOHA.


Seterusnya, beliau berkongsi mengenai peranan dan tanggungjawab Pustakawan ICT adalah sangat penting dalam memacu pembangunan sesebuah Perpustakaan.  Pustakawan ICT perlu mahir dalam pelbagai aplikasi, termasuk isu penyelengaraan dan juga pembangunanan aplikasi sejajar dengan perkembangan semasa serta keperluan institusi dan pengguna. Selain daripada itu, perancangan teras dan strategi ICT institusi adalah penting dalam perancangan pembangunan kerjaya Pustakawan ICT.


Akhir kata, adalah menjadi harapan besar agar ICT di Perpustakaan UTM terus berkembang maju selaras dengan keperluan organisasi, institusi dan negara. Beliau juga berpesan kepada Pustakawan supaya tidak takut dan khuatir jika ditempatkan di bahagian ICT perpustakaan kerana pengalaman membantu perkembangan kemahiran dan kerjaya seorang Pustakawan di dalam bidang ICT.

Share this :