Siri kedua belas program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 12 Ogos 2021 dengan membawakan 2 orang pengulas iaitu Encik Kiflee Bin Jimpi, Penolong Pendaftar Kanan daripada Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar. Manakala pengulas kedua iaitu Puan Ayu Azrin Binti Abdul Aziz, Penolong Pegawai Tadbir, UTM International, Jabatan Canseleri.

Pengulas pertama iaitu Encik Kiflee Bin Jimpi telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Meludah ke Langit oleh Bonda Nor. Buku ini merupakan sebuah karya motivasi di bawah siri ‘Bercakap Dengan Cermin’ terbitan Galeri Ilmu. Buku ini adalah cetakan pertama 2019, berhalaman 208 muka surat dan ditulis oleh Bonda Nor beserta anak-anak didiknya dalam Akademi Bonda Nor (ABN). Buku ini menghimpunkan kisah sebenar para penulis yang boleh dijadikan sebagai pedoman dan iktibar di atas pengalaman yang dikongsikan.

Encik Kiflee Bin Jimpi mengulas sebuah buku bertajuk Meludah ke Langit

Ternyata apa yang dinukilkan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya ia menyingkapkan kisah kebangkitan hidup penulis yang dirangkumkan dalam sebuah antologi untuk masyarakat mengambil pengajaran dan hikmah disebalik kejadian. Angkara kekhilafan dalam bicara dan tafsir membawa mereka hanyut dalam kehidupan. Mujur aturan takdir sesudah itu membuat mereka tersentak dan menyedari kesilapan seterusnya berusaha merubah diri kepada yang lebih baik. Buku ini sarat dengan pengajaran. Penceritaan semua kisahnya adalah berbeza tetapi membawa ibrah yang sama iaitu mengajak pembacanya untuk bermuhasabah diri.

Puan Ayu Azrin Binti Abdul Aziz mengulas buku bertajuk Barack Obama: The Movement for Change

Pengulas seterusnya pula adalah Puan Ayu Azrin Binti Abdul Aziz yang berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Barack Obama: The Movement for Change. Buku ini meneliti secara terperinci misi Presiden Barack Obama untuk mengubah Amerika. Kisah biografi ini membuka minda pembaca tentang isu hak asasi manusia, hak awam dan pendekatan tersendiri Barrack Obama dalam mewujudkan kesejahteraan sejagat komuniti Amerika Syarikat. Kredibiliti Barrack Obama yang telah mendapat sokongan daripada rakyat USA sebagai presiden kulit hitam pertama membuktikan warna kulit bukan perbezaan untuk memimpin. Barrack Obama berjaya mengenepikan isu diskriminasi dan perbezaan pandangan antara kaum atau komuniti. Buang tanggapan negatif terhadap orang lain dan terus berusaha untuk bekerja dalam satu pasukan.

Pengalaman lalu banyak menginspirasi  beliau untuk menegakkan isu ketidaksamarataan serta diskriminasi antara kaum di pelbagai peringkat. Buku ini juga telah digarap dengan baik berdasarkan fakta sejarah politik dan ideologi yang dibangkitkan di Amerika Syarikat untuk tatapan para pembaca. Kandungan bahan bacaan ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada pembaca untuk terus menggapai cita-cita dan impian dengan perancangan dan usaha yang konsisten.

 

Share this :