Program BookSharing@UTMKL 2021 siri ke-13 telah diadakan pada hari Khamis 19 Ogos 2021. Seperti lazimnya, dua orang pengulas buku telah dijemput untuk berkongsi pembacaan mereka. Pengulas buku yang terpilih bagi sesi kali ini adalah Encik Mohd Syafiq Bin Samsudin (Penolong Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti) dan Puan Norlaili Binti Abd Jalal (Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) manakala Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid telah dilantik sebagai moderator program.
Perkongsian telah dimulakan oleh Encik Mohd Syafiq Bin Samsudin dengan buku pilihannya yang berjudul Sehari di A&E yang ditulis oleh Dr Noor Hayati Yasmin Nga Timin. Buku ini menjadi pilihannya kerana beliau dan penulis berkecimpung dalam bidang yang sama iaitu bidang perubatan.
Menurut beliau, buku ini adalah pengalaman seorang doktor perubatan dalam menangani kes kritikal sepanjang bertugas di Jabatan Kecemasan atau dikenali juga ‘Accident & Emergency’. Buku ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu luahan hati seorang doktor perubatan dan bahagian kedua pula perkara-perkara yang dipelajari dari pesakit.
Saban hari pelbagai kes diterima di A&E dan setiap kes akan cuba ditangani sebaik mungkin kerana setiap tindakan yang diambil akan memberi impak kepada imej kakitangan perubatan dan Hospital dalam mendepani ahli keluarga pesakit, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan kematian. Menurut pengulas, di akhir penulisan buku ini, penulis ada berpesan kepada pembacanya agar menggunakan kemudahan yang disediakan di Jabatan A&E dengan berpada-pada atau apabila berlaku kecemasan. Ini kerana ada pihak yang lebih memerlukan perkhidmatan di jabatan tersebut dan berada dalam keadaan lebih kritikal.
Perkongsian diteruskan lagi dengan pengulas kedua iaitu Puan Norlaili Binti Abd Jalal dengan buku pilihannya yang berjudul Diet Bukan Mitos yang dikarang oleh Ruqayyah Muhd. Menurut beliau, buku ini adalah perkongsian pengalaman penulis sebagai pakar pemakanan di hospital. Buku ini menerangkan cara diet yang betul iaitu dengan pengambilan pemakanan seimbang dan bukannya sehingga menahan lapar atau mengehadkan makanan tertentu. Penulis menyatakan, tujuan diet adalah bukan untuk kurus semata-mata tetapi lebih kepada kehidupan yang lebih sihat.
Menurut beliau lagi, penulis juga berkongsi 5 tips diet yang boleh diamalkan iaitu diet tanpa kos tambahan, pengambilan makanan seimbang, mengubah corak pemakanan dari kebiasaan, melakukan senaman dan mengelakkan stress. Info lain yang dikongsi dalam buku ini adalah seni mengurangkan kalori dan cara meningkatkan pembakaran kalori di rumah. Menurut penulis diet haruslah seronok tanpa menyeksa diri dalam usaha memperbaiki diri untuk lebih sihat.
Di akhir perkongsian, beliau membuat kesimpulannya bahawa diet bukan bermakna terus berlapar dan berpantang tanpa had tetapi diet adalah dengan menukar cara makan sehingga dapat mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan baik ‘‘You are what you eat’’.