Pada 10 Julai 2018 yang lalu, Perpustakaan UTM Johor Bahru telah menerima kunjungan En. Shahrul Hafifi Mohd. Fuad, Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia. Kehadiran beliau telah disambut oleh Pn. Zaleha Atan, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (Perkhidmatan), Pn Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Penyelidikan (BPMP) dan Pn. Syahranah Ahmad Raqi, Pustakawan Kanan BPMP. Lawatan kerja ke Perpustakaan UTM ini merupakan salah satu aktiviti dalam program sangkutan yang dijalani oleh En. Shahrul di UTM.
Sepanjang sesi sangkutan En. Shahrul Hafifi di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, beliau telah didedahkan berkenaan aktiviti dan perkhidmatan utama Perpustakaan UTM oleh Pn. Khairulbahiyah. Selanjutnya, penerangan berkenaan pengurusan penerbitan penyelidikan telah disampaikan oleh Pn. Syahranah. En. Shahrul juga turut dibawa melihat koleksi bersejarah di Galerium UTM dengan diiringi Pn. Nabilah Jamil, Pustakawan Kanan Unit Galerium.
Pada sebelah petang pula, En. Shahrul telah dibawa melawat Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah untuk melihat pelbagai aktiviti, perkhidmatan dan koleksi di sana. Sesi lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pertukaran cenderahati bersama-sama pengurusan tertinggi Perpustakaan UTM.
Adalah menjadi harapan agar sesi lawatan ini menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama antara Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia untuk masa akan datang.