Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan Program Ijtihad Pustaka Siri 1/2026 yang menampilkan perkongsian ilmu berasaskan sebuah buku bertajuk Rahsia Sihat Melalui Puasa. Program ini telah berlangsung pada hari Isnin, 23 Februari 2026, dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara dalam talian melalui platform Facebook Perpustakaan UTM, Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan YouTube UTM Library TV. Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif perkongsian ilmu yang bertujuan menyemarakkan budaya ilmu serta memperkaya pengetahuan masyarakat secara berterusan.

Panel jemputan bagi siri kali ini ialah Prof. Madya Dr. Bushrah binti Basiron, Pensyarah dari Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia, manakala moderator program ialah Pn. Maizathul Sazila binti Othman, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Panel telah mengupas kandungan buku Rahsia Sihat Melalui Puasa dengan menekankan bahawa puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga merupakan satu bentuk latihan kerohanian dan pengawalan diri yang mampu memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal serta kesejahteraan rohani.

Dalam Islam, puasa merupakan satu ibadah yang diwajibkan kepada umat Islam pada bulan Ramadan. Selain itu, terdapat juga puasa sunat yang digalakkan seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis serta puasa enam hari dalam bulan Syawal. Amalan berpuasa mendidik umat Islam untuk mengawal nafsu, meningkatkan kesabaran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Panel turut mengingatkan hadith Rasulullah SAW yang menyeru umat manusia agar memanfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda sebelum tua, waktu sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, dan masa hidup sebelum mati. Pesanan ini menekankan kepentingan menjaga kesihatan serta menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan seharian.

Selain itu, panel turut berkongsi bahawa konsep puasa juga diamalkan dalam agama-agama lain dengan tujuan tertentu. Dalam agama Kristian, puasa dilakukan sebagai persediaan untuk membuat keputusan penting, sebagai tanda pengorbanan spiritual atau sebagai satu bentuk disiplin diri dengan menahan diri daripada mengambil makanan tertentu. Tempoh dan kaedah pelaksanaan puasa dalam agama Kristian adalah berbeza-beza bergantung kepada amalan dan kepercayaan masing-masing. Manakala dalam agama Buddha, penganutnya berpuasa secara berkala, lazimnya dua kali dalam sebulan sebagai satu latihan kesederhanaan, pengawalan diri dan peningkatan kesedaran rohani. Perkongsian ini menunjukkan bahawa amalan puasa merupakan satu amalan sejagat yang mempunyai nilai kerohanian dan kesihatan merentasi pelbagai agama dan budaya.

Dari sudut kesihatan, panel menekankan kepentingan mengamalkan cara berbuka puasa yang betul dan seimbang. Antara sunnah yang digalakkan ialah menyegerakan berbuka puasa dengan makanan ringan seperti kurma atau air kosong sebelum mengambil hidangan utama. Makanan yang mudah dihadam dan diambil secara sederhana amat digalakkan, contohnya pengambilan nasi dalam kuantiti yang bersesuaian seperti dua senduk sahaja. Selain itu, masyarakat disarankan untuk mengurangkan pengambilan gula dan makanan manis serta mengelakkan minuman dalam kotak atau tin yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Amalan pemakanan yang sihat dan seimbang dapat membantu mengekalkan tahap kesihatan tubuh badan sepanjang tempoh berpuasa.

Panel juga menyentuh aspek nilai kemasyarakatan dalam Islam, antaranya konsep sedekah dan ganjaran pahala walaupun dalam perkara kecil. Sebagai contoh, sekiranya hasil tanaman atau sayuran milik seseorang dimanfaatkan oleh orang lain tanpa disedari, pemilik tersebut tetap beroleh pahala sedekah atas rezeki yang dikongsi. Nilai ini mencerminkan keindahan ajaran Islam yang menekankan sikap reda, ihsan dan kebajikan sesama manusia.


Secara keseluruhannya, Program Ijtihad Pustaka Siri 1/2026 berjaya memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta mengenai kepentingan amalan berpuasa dari perspektif agama dan kesihatan. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemarakkan budaya ilmu, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup yang seimbang selaras dengan tuntutan agama dan nilai murni masyarakat.
