Bersempena dengan Program Semarak Dekad Membaca iaitu sinergi di antara Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Johor Bahru, satu program Book Review telah diadakan pada Rabu, 13 Mac 2019.

Moderator untuk program ini ialah Saudara Muhamad Zainuddin Arriafdi, siswa tahun akhir Fakulti Kejuruteraan. Para pengulas buku terdiri daripada :-

1. Saudari Nordalilah Abdullah merupakan mahasiswi tahun dua Fakulti Alam Bina & Ukur yang berasal dari Johor Bahru, Johor. Beliau mengulas buku yang bertajuk  ‘Hikayat Putera Tanpa Nama’

Buku ini merentas senario masa hadapan yang mengisahkan kehidupan pelatih di Madrasah Taming Sari yang dilatih untuk menjadi pendekar hebat negara tanpa menggunakan senjata masa kini akibat dari kesan peperangan nuklear yang telah meratakan permukaan bumi. Pelatih-pelatih ini dinamakan mengikut nombor seperti Pelatih 1636 dan sebagainya. Pelbagai kisah dipaparkan dalam buku yang mengandungi 16 bab ini yang kebanyakkannya berkisar tentang Islam. Buku ini mempunyai plot yang mendatar bahkan pengakhiran buku ini seolah tergantung. Ini kerana penulis dijangka akan menyambung siri kedua buku ini pada masa hadapan.

Terdapat banyak pengajaran di dalam buku ini antaranya jika ilmu agama disalah guna maka ia mampu menjadi senjata yang merosakkan manusia. Masyarakat perlu menyedari kepentingan memahami ilmu agama supaya tidak mudah dipesongkan oleh mereka yang berniat jahat dan menyamar sebagai ahli agama.

2. Saudari Nur Liyana Nabihah Yusof, mengulas buku berjudul ‘The Time Keeper’ by IT Mitch Albom. Beliau berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan kini menetap di JB. Beliau merupakan pelajar sekolah Kejuruteraan Mekanikal, UTM. Beliau seorang yang sangat aktif dan pernah dinobatkan dengan anugerah Asean Youth Award. Kini Liyana aktif dalam Majlis Pewakilan Pelajar dan memegang portfolio sebagai Ketua Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus.

Buku genre fiksyen ini mengisahkan tentang Pencipta jam pertama di dunia (Father Time) yang dihukum Tuhan kerana cuba mengukur masa. Dipenjarakan selama berkurun dalam sebuah gua dan hanya mampu mendengar suara pengunjung gua yang melawat. Ketika hampir putus asa Father Time diberikan peluang untuk bebas jika berjaya mengajar 2 orang mengenai maksud sebenar masa. Father Time kembali ke dunia semasa dan berkelana mencari seorang gadis dan seorang lelaki yang menjadi objektif misi. Gadis tersebut mahu membunuh diri kerana kecewa setelah cinta ditolak manakala lelaki tersebut adalah orang kaya yang tidak mahu mati dan mahu hidup selamanya. Setelah bertemu gadis itu, Father Time berjaya menunjukkan melalui mesin masa bahawa keluarga gadis tersebut lebih menyayanginya setelah gadis itu mati berbanding teman lelaki yang menolak cintanya. Gadis itu kemudiannya menyesali dan kembali kepada keluarganya. Kemudian Father Time Berjaya menunjukkan kepada lelaki kaya yang dia boleh hidup selamanya tetapi dalam bentuk artifak hidup dalam muzium masa hadapan kerana dia sudah sangat tua untuk melakukan apa-apa aktiviti. Lelaki tersebut akhirnya akur dengan hukum Tuhan iaitu kematian adalah pasti. Father Time telah berjaya dalam misinya dan kembali semula untuk hidup sebagai manusia biasa.

Impak kepada pengulas ialah kisah ini memberikan kesedaran tentang maksud pengorbanan, kesetiaan, nilai-nilai murni seseorang manusia semasa masih hidup sepatutnya memberikan impak kepada mereka yang disayangi khasnya dan manusia lain secara umumnya. Manakala impak kepada khalayak ialah manusia perlu memikirkan kesan pada masa hadapan akibat dari tindakan mereka samada baik atau buruk.

3. Adik Sharvini Nair A/P Sujendran, bercerita mengenai buku bertajuk, ‘Siri Pahlawan Negeri Johor – Si Bongkok Tanjung Puteri ’. Adik Sharvini berusia 11 Tahun dan berada dalam Tahun 5. Beliau berasal daripada Johor Bahru, hobi beliau ialah membaca dan bercita-cita menjadi penyanyi.

Buku  sejarah kepahlawanan ini mengisahkan mengenai ketokohan seoarang Pahlawan Johor yang dikenali sebagai  Si Bongkok kerana keadaan fizikal beliau. Beliau merupakan seorang pejuang yang gagah berani dan telah melanun di perairan Johor dengan menyerang kapal-kapal dagang Inggeris, sebagai usaha menghalang penaklukan Inggeris ke atas negeri Johor. Beliau telah terbunuh dalam satu pertempuran dan telah disemadikan di lereng bukit Tanjung Puteri. Impak kepada pengulas dan khalayak umum adalah semangat patriotism tinggi di kalangan orang dahulu kala bagi mempertahankan tanah air.

4. Adik Muhammad Irfan Bin Mohd Salji , mengulas mengenai buku bertajuk, ‘The Loyal Swallow’. Adik Irfan berumur 12 Tahun dan berada dalam Tahun 6 di SKPK Princess Elizabeth. Beliau yang gemar membaca berasal dari Johor Bahru dan bercita-cita menjadi Professor.

Buku fiksyen ini mengisahkan tentang seorang Putera Raja yang dikasihi rakyat atas keadilan dan ehsan baginda memerintah negara. Apabila beliau mangkat, rakyat telah membangunkan sebuah tugu berbentuk patung baginda yang diperbuat daripada emas. Terdapat seekor burung layang-layang yang telah menjadikan patung tersebut sebagai tempat tinggalnya dan bersahabat dengan patung emas tersebut. Suatu masa, rakyat berada di dalam keadaan sukar dan tiada makanan. Patung emas raja itu sangat bersedih hati dan meminta burung layang-layang tersebut membantunya dengan mengagih-agihkan emas pada badan patung itu kepada rakyat baginda. Burung layang-layang telah membantu patung emas dan patung emas berasa gembira akan hal berkenaan. Impak kepada pengulas dan khalayak umum adalah semangat setiakawan yang tinggi ditemui pada burung layang-layang berkenaan dan ketulusan hati seorang pemerintah yang tetap mengasihi rakyatnya walaupun setelah baginda tiada.

Disediakan oleh Pn Siti Nisrin Mohd Anis

Share this :