Read & Relax Siri 13/2019 di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah diteruskan lagi pada 1 Ogos 2019, Khamis pada jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Seperti kebiasaannya sesi tersebut diadakan di Read & Relax Corner melibatkan tiga (3) orang pengulas. Moderator untuk sesi kali ini ialah Encik Mohd Fuad Mohamed Yusof manakala Cik Hamizah Sumin selaku pelapor.
Apa yang diceritakan dalam buku ini sememangnya berlaku di negara kita. Kadang kadang terfikir juga, masih ada lagi yang berfikiran seperti apa yang di ceritakan. Sifat selfish dan tidak memikirkan hal orang lain. Penulis membanding mentaliti kita ini dengan mentaliti orang orang barat dan sememangnya kita sepatut berasa malu. Islam sendiri tidak mengajar kita untuk bersifat pentingkan diri sendiri.
Penerbitan buku ini juga sekaligus menunjukkan bahawa mentaliti masyarakat masih tidak berubah sepenuhnya. Mungkin ada peningkatan dan penambahbaikan, namun untuk menjadi seperti masyarakat Jepun atau Jerman yang ironinya amalkan nilai-nilai yang dianjurkan Islam namun bukan negara majoriti Islam, seharusnya membuatkan kita terasa dan malu.
Terdapat dua kutub mempunyai kefahaman ekstremis yang sedang melanda umat Islam ketika ini. Kutub itu adalah kutub terroris dan juga kutub liberal. Kedua-dua kutub fahaman ini telah membawa imej yang buruk terhadap Islam. Ustaz Amir menceritakan Islam tidak difahami dengan benar dan tepat, baik oleh penganutnya sendiri mahupun kepada orang kafir. Pada kutub teroris, umat Islam dilihat sebagai umat yang ganas jahat suka bom orang! Pada kutub liberal pula, umat Islam dilihat terlalu terbuka, sehingga adakalanya mengiktiraf agama lain sebagai benar. Jadi, orang kafir ini pun rasa, buat apa aku nak masuk Islam, agama aku pun benar apa? Kefahaman-kefahaman sesat seperti inilah yang akan cuba dibetulkan oleh penulis.
Selain itu pengulas juga merasakan tiada musuh luar dan asing yang tidak boleh dikalahkan oleh umat Islam, kecuali apabila umat terpaksa berdepan dengan perpecahan dalaman. Allah Taala banyak kali mengingatkan dalam al-Quran agar umat Islam mentaati Allah dan Rasul-Nya dan jangan bersengketa sesama sendiri, kerana yang demikian akan melemahkan kekuatan umat Islam bagi memerangi musuh sebenar dan seterusnya membawa kepada kegagalan. Pengulas juga ada menyatakan salah satu ayat yang perlu direnungi ialah ayat 46 Surah al-Anfal. Dari segi perbezaan pendapat pula, pengulas merasakan itu adalah perkara biasa seperti biasanya perbezaan warna kulit, saiz badan dan sebagainya. Perbezaan inilah yang membawa kepada kekayaan sumber dan kekuatan kolektif jika dikendalikan dengan baik. Walau bagaimanapun, ada juga perbezaan yang membawa bencana dan malapetaka kepada umat dan menyebabkan pertumpahan berdarah sesama muslim di sepanjang sejarah ialah perbezaan yang bertunjangkan ekstrimisme, taksub dan sikap melampau yang menjurus kepada dua kutub aliran; Pertama ialah kutub ‘Ilhad’ dan kedua ialah kutub ‘Batiniah’.
Hasil nukilan Norden Mohamed yang merupakan sambungan daripada Maaf Cakap 2. Buku ini menyentuh topik-topik mengenai alam siber, bisnes, media, motivasi, pengurusan, politik, sosial dan juga sumber manusia.Topik-topik serius ini disampaikan secara santai agak ia mudah difaham dan dihadam. Buku ini adalah kritikan penulis terhadap kesilapan berfikir masyarakat tentang sesuatu isu yang menular sama ada dalam media sosial mahupun kehidupan harian. Pengulas merasakan buku ini adalah bacaan yang santai namun meliputi pelbagai aspek seperti motivasi, politik, sosial, bisnes, dunia akhbar serta sumber manusia dan telah disampaikan secara berlapik namun menusuk ke dalam jiwa. Di samping itu, pengulas juga menyatakan buku ini berunsur motivasi memberi ilmu, merehatkan minda serta muhasabah diri seterusnya merasakan penulis mampu merubah pemikiran kita yang negatif kepada lebih positif sama ada terasa atau tak terasa bila ditegur…
Disediakan oleh Puan Syazwani Syamimi Mat Pauzi.