Sesi Read & Relax diteruskan lagi pada kali ini dengan kerjasama bersama Fakulti Sains, bersempena dengan Siri Jelajah Read@Uni. Sesi kali ini menampilkan pelajar-pelajar dari Fakulti Sains sendiri untuk turut serta berkongsi bahan bacaan yang telah mereka baca daripada buku milik peribadi masing-masing.
Sesi kali ini menampilkan panel pertama iaitu saudara Muhammad Izzhaziq Bin Mohd Rajil yang merupakan mahasiswa dari Fakulti Sains. Beliau telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Lukisan Tarbiah 3: Air Mata Terakhir nukilan daripada Abeben. Buku ini mengisahkan tentang motivasi dan muhasabah diri. Tatkala hati yang sudah terlalu gelap dan keras, tak mampu lagi mengalirkan air mata apabila memikirkan betapa banyaknya dosa yang masih belum diinsafi. Betapa hanyut dan larutnya dalam hiburan dan gelak tawa, gagal sudah untuk mengalirkan air mata untuk-Nya. Namun mudah pula ia menitis, jika untuk artis drama yang tak pernah kenal pun kita siapa. Mudahnya ia menitis, jika matinya karakter fiksyen, yang tak pernah wujud pun di alam nyata. Mudahnya ia menitis, jika untuk pasangan ajnabi yang tak pernah terdetik pun mahu memimpin kita ke syurga. Mudahnya ia menitis, jika gagal mendapat pujian dan sanjungan dunia beserta isinya. Buku ini memberi banyak pengajaran dan sempadan dalam hidup yang boleh dijadikan panduan agar sentiasa berpesan pada diri agar berada pada landasan yang betul. Penyakit hati perlu diubati dengan cara khusyuk dan tawaduk kepada sang Pencipta. Ia juga merupakan buku kerohanian yang sangat baik dan sesuai dibaca oleh setiap lapisan usia. Dalam buku ini juga pembaca diajar untuk redha dengan segala ketentuan Allah kerana perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kita semua.
Panel yang kedua pula juga merupakan mahasiswa Fakulti Sains iaitu saudara Muhammad Faiz bin Abd Halim yang telah berkongsi tentang buku yang bertajuk Hayatus Sahabah. Buku Hayatus Sahabah adalah merupakan buku berkisar tentang kehidupan para sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang ditulis oleh As Sheikh Muhammad Yusuf Kandhalawi. Ia telah diterjemahkan ke bahasa Melayu pada tahun 1996 oleh Abul Khairy Al-Latifi. Ia mengungkapkan perjalanan hidup para sahabat Rasulullah s.a.w. ditinjau dari berbagai aspek kehidupan mereka. Ia merangkumi kisah kehidupan para sahabat dalam semua bidang seperti iman dan amal, solat, ilmu dan zikir, ikram muslimin, ikhlas niat, dakwah dan tabligh. Impak dari buku ini adalah ia mengajar kita supaya lebih tawaduk dan mengingati sejarah sahabat-sahabat Rasulallah yang berkorban demi menegakkan jihad Islam. Sebagai anak muda harus mencontohi perjuangan para sahabat yang Berjaya mengetuai peperangan memerangi musuh Islam dan menjadi contoh kepada generasi kini.
Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.