Sesi Read & Relax, Siri 10/2019 di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah telah dilaksanakan pada 23 Mei 2019, jam 11.30 pagi. Pada sesi kali ini menampilkan tiga orang pengulas iaitu Encik Abdul Jalil bin Hassan, Puan Azrina binti Benan dan Encik Muhammad ‘Atiff bin Mahussain.
Pengulas pertama iaitu Encik Abdul Jalil bin Hassan berkongsi buku bertajuk “Teh Tarik Kurang Manis”, karya Abd. Jalil Ali. Secara keseluruhannya, buku ini banyak mengaitkan isu semasa dengan kehidupan seharian. Sebagai contoh sikap wanita suka mengumpul banyak baju dan sorok umur. Tidak ketinggalan juga di antaran tanda-tanda seseorang itu meningkat usia adalah apabila berjalan jauh akan kerap berhenti untuk ke tandas. Turut diselitkan kisah kematian di mana jarum jam boleh berhenti tetapi hidup tidak berhenti melainkan kematian.
Manakala pengulas kedua, Puan Azrina binti Benan telah mengulas buku bertajuk “Suami Hensem Isteri Ohsem” yang ditulis oleh Ahmad Shafiai Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Uteh. Buku ini diterbitkan pada tahun 2016, mengandungi 38 topik dan 228 mukasurat merupakan koleksi peribadi pengulas sendiri. Buku ini membantu pembaca untuk mengenal dan memahami perbezaan di antara lelaki dan perempuan. Selain itu turut dinyatakan petua untuk mengeratkan hubungan antara suami dan isteri seperti sahabat iaitu menjadi pendengar yang baik. Contohnya suami jangan merendahkan atau memperlekehkan semasa isteri meluahkan perasaannya. Manakala isteri pula perlu menyokong minat suami dan saling bantu membantu. Berleter bagi isteri adalah nasihat kerana Islam iktiraf berleter adalah suatu yang positif dalam mengurangkan tahap stress isteri. Suami juga perlu memahami situasi isteri yang multi tasking iaitu mampu membuat pelbagai kerja dalam satu masa. Begitu juga isteri, perlu memahami situasi dan keadaan suami bagi mencapai harmoni hidup berumah tangga.
Pengulas yang terakhir iaitu Encik Muhammad ‘Atiff bin Mahussain memilih buku yang bertajuk “Ada Apa Dengan Nama” oleh Ahmad Saifudin Yusof sebagai perkongsiannya pada kali ini. Buku ini berkisarkan bagaimana nama itu dipilih (berdasarkan apa). Sebagai contoh, nama diberi mengikut fizikal seseorang – hitam, putih, mek, awang dan sebagainya. Namun ianya berubah pada masa sekarang kerana terdapat banyak panduan dalam pemilihan nama anak. Terdapat buku yang menyenarai nama beserta maksud sebagai rujukan. Pengulas menyarankan agar memilih nama anak dengan maksud yang baik dan memanggil anak dengan nama yang diberi.
Disediakan oleh Puan Zuraidah binti Aman.