Pada 7 April 2020 (Selasa), program Read & Relax versi online siri ketiga diteruskan lagi dengan menampilkan Dr. Zulkifli Khair, Pensyarah Kanan daripada Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan dengan berkongsi tentang sebuah buku berasaskan politik yang bertajuk TRUMP VS CHINA hasil nukilan Newt Gingrich.

Dr. Zulkifli Khair mengulas buku bertajuk TRUMP VS CHINA.

Buku ini merupakan milik peribadi pengulas mengandungi perlabelan dan penjenamaan yang hebat terhadap Amerika Syarikat (Donald Trump sebenarnya) dan China. Amerika Syarikat (AS) dilabel demokrasi dan liberal, manakala China mendokong totalitarianisme dan sosialisme.

Buku terbitan tahun 2019 ini mengandungi beberapa ‘nasihat’ sewaktu menggunakan media sosial. Pengulas memaklumkan bahawa beliau sering menasihatkan bakal graduan dan graduan untuk membuka akaun LinkedIn serta sentiasa mengemaskini maklumat profil, supaya nampak profesional dan berpotensi mendapat tawaran kerja oleh syarikat-syarikat ternama bertaraf MNC. Walaugaimanapun Linkedln pada masa ini telah dikatakan fungsinya menyamai Tik Tok yang merangkumi data peribadi termasuk teks dan visual di mana ianya berisiko besar untuk dimanipulasi.

Selain apps, alat-alat tertentu turut dikatakan menjadi pengintip buat Parti Komunis China demi mencapai agenda perdana untuk menjadi kuasa besar dunia. Drone DJI yang banyak digunakan di AS dan dunia Barat sebelum ini dikatakan adalah pengintip buat China.

Menurut pengulas, Newt Gingrich turut melabel China sebagai licik, penipu dan pencuri dalam mencapai apa jua matlamat. Ini termasuklah contoh perancangan dan tindakan pihak China untuk menguasai Laut Cina Selatan, tanpa mempedulikan protes negara-negara bersempadan dengannya termasuk Malaysia.

Buku ini menuntut kepada rasionalisme serta daya fikir yang tinggi bagi menilai setiap tindakan yang akan memberikan impak. Kemelut politik dan pertahanan negara merupakan perkara serius yang memerlukan kepakaran dan strategi yang betul. Konflik antara negara perlu diselesaikan secara berhemah agar tidak memberi kesan kepada rakyat.

 

 

 

 

Share this :