Siri Engagement with Researchers kembali lagi pada tahun ini bersempena dengan UTM Library Research Week 2020 dengan tema Embracing the New Normal : Innovating Digital Library Services. Siri ini merupakan platform perkongsian pandangan dan harapan penyelidik terhadap perkembangan perkhidmatan digital perpustakaan dalam era normal baharu serta mengenal pasti keperluan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pustakawan. Sesi yang berlangsung pada 21 September 2020 ini adalah anjuran bersama Perpustakaan UTM dan Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Selatan (PPMKS).

Panel jemputan terdiri daripada Prof. Ts. Dr. Muhammad Hisyam Lee, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan & Analitik Pejabat Pengurusan Strategik Pejabat Naib Canselor yang juga merupakan Ahli Senat UTM, auditor MQA serta MyRA. Manakala panel ke dua pula adalah Prof. Madya Dr. Siti Aishah Panatik, Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan. Beliau juga telah dilantik sebagai Corporate Integriti Assessment Expert oleh Institut Integriti Malaysia. Moderator bagi sesi ini adalah Dr Nazrinda A Samah, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM.

Antara topik yang dibincangkan adalah bagaimana perkhidmatan atas talian perpustakaan memenuhi keperluan warga universiti sepanjang pandemik COVID-19. Panel berpendapat bahawa Perpustakaan UTM telah berjaya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Ahli panel turut berkongsi pengalaman saat menggunakan perkhidmatan Perpustakaan UTM selama  bertugas di UTM dan mencadangkan beberapa perkara yang boleh menambahbaik perkhidmatan Perpustakaan UTM. Prof. Ts. Dr. Hisyam Lee melihat Perpustakaan sebagai sebuah pusat data, umpama nukleas bagi sebuah universiti. Pustakawan perlu bersedia menghadapi ‘data driven culture’ di mana pustakawan perlu mahir dalam mengumpul, menganalisa dan menterjemah himpunan data. Sebagai contoh, data yang telah dikumpulkan oleh perpustakaan boleh dianalisa dan digunakan untuk kemajuan universiti.

Prof Prof. Madya Dr. Siti Aishah Panatik pula amat menghargai inisiatif serta inovasi perpustakaan yang sentiasa menambah baik perkhidmatan selari dengan keperluan semasa. Menurutnya, program pembudayaan ilmu yang berterusan anjuran Perpustakaan UTM seperti K-Sharing dan Read & Relax  berjaya mewarnai budaya membaca di UTM dan usaha ini perlu diteruskan  ke peringkat komuniti. Dari aspek user experience pula, beliau mengharapkan agar perkhidmatan digital perpustakaan dapat diperkemaskan dengan menambahbaik laman web perpustakaan supaya lebih mesra pengguna. Ini adalah untuk mengurangkan gejala techno stress apabila  pengguna sukar dan gagal mencari maklumat yang diperlukan.

Berdasarkan satu artikel berjudul ‘Publishing during pandemic: Innovation, collaboration, and change’ oleh Pippa Smart, penulis menyatakan bahawa kini terdapat pelbagai sumber akses terbuka yang disediakan oleh penerbit  di dalam menyokong aktiviti pengajaran dan penyelidikan. Prof Ts. Dr. Muhammad Hisyam Lee melihat peranan perpustakaan di dalam menambah nilai kepada inisiatif sumber akses terbuka. Perpustakaan perlu mengambil langkah mengumpul semua data ini sebagai rujukan di masa hadapan.

Seluruh dunia berdepan dengan pandemik yang tidak pasti penghujungnya ini. Walau bagaimanapun, proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di universiti tetap berlangsung seperti biasa melalui pendekatan baharu iaitu secara atas talian. Para panel turut berkongsi best practices yang boleh dilaksanakan, antaranya menjalankan kaji selidik terhadap tahap kepuasan pengguna. Data yang dikumpulkan dapat membantu pihak Perpustakaan di dalam menambahbaik tahap perkhidmatan.  PM Dr Siti Aisyah turut menyentuh tentang the future of work yang berkemungkinan boleh membawa kepada cognitive workload dalam era digital ini.

Antara harapan ahli panel adalah perpustakaan perlu memaksimumkan fungsi yang ada dengan lebih mantap, dan mesra pengguna. Pustakawan dalam era digital perlu bijak mengurus profesion serta keseimbangan emosi dalam mendepani bebanan tugas.

Rapporteur: Nurul Hasyimah binti Mahmud

 

 

 

 

 

 

 

Share this :