Usaha membudayakan amalan membaca di kalangan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia diperkasa melalui program Read & Relax Bersama Mahasiswa sempena Hari Kokurikulum bertempat di kolej kediaman pelajar. Ini merupakan sinergi antara Perpustakaan UTM dan Kolej Perdana sebagai inisiatif awal bagi menyemarak jiwa membaca di kalangan generasi muda UTM. Sehubungan itu, sesi Read & Relax bersama Mahasiswa UTM telah diadakan pada 3 Mac 2020, jam 8.00 malam di Dataran U4, Kolej Perdana UTM.

Pengulas terdiri daripada tiga (3) orang pelajar iaitu Nur Azmira Alea binti Nurhazli, Sureka Elenggo dan Muhamad Adli bin Nur Hazwan. Mereka adalah pelajar Tahun 1 dari Fakulti Sains, Biologi (Tulen), UTM. Bagi memeriahkan majlis, turut serta mengulas sebuah buku adalah Prof. Madya Dr. Mohd Murtadha bin Mohamad, Felo Kolej Perdana dengan buku berjudul “I Wish I’d Said That : How To Talk Your Way Out of Trouble and Into Success”.

Nur Azmira Alea binti Nurhazli, mengulas buku berjudul “The Truth About the Harry Quebert Affair” oleh Joel Dicker. Marcus Goldman, adalah novelis muda yang berjaya yang memerlukan inspirasi untuk buku seterusnya. Marcus menuju ke New Hampshire untuk berjumpa dengan mentornya Harry Quebert, untuk memfokuskan penulisannya. Tetapi rancangannya terganggu apabila Quebert dituduh terlibat dengan satu kes pembunuhan seorang remaja perempuan. Nola Kellergan yang berusia 15 tahun ketika dia hilang dan Quebert dituduh atas pembunuhannya. Mayat Nola telah dijumpai semula dan Quebert dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan gadis bawah umur. Marcus enggan mengeksploitasi tragedi yang menimpa Harry, namun begitu dia masih tanya-tanya mengenai gadis berusia lima belas tahun yang berjaya menawan hati Harry dan mengapa seseorang menginginkannya mati. Marcus menghadapi situasi sukar dengan pihak berkuasa negeri dan tempatan dan persoalan demi persoalan timbul sehingga menyebabkan Marcus menjalankan penyiasatannya sendiri.

Sureka Elenggo mengulas buku berjudul “Love, Rosie” oleh Ceclia Ahern. Penceritaan kisah diceritakan melalui surat, e-mel dan pesanan segera di antara dua watak utama iaitu Rosie Dunne dan Alex Stewart. Rosie dan Alex berkawan rapat sejak kecil tetapi terpaksa berpisah ketika Alex dan keluarganya berpindah dari Dublin ke Boston. Rosie menjadi ibu tunggal kepada seorang anak bernama Katie dan akhirnya berkahwin dengan Greg. Setelah 5-6 tahun Rosie berkahwin, Alex tetap berhubungan dengan Rosie, lalu dia menulis sepucuk surat kepada Rosie yang pada hakikatnya dia ingin mereka berkahwin. Malangnya surat itu tidak sampai pada Rosie tetapi disimpan oleh Greg. Greg dan Rosie bercerai dan semasa membersihkan barang-barang Greg, dia menjumpai surat Alex. Akhirnya, Rosie memiliki hotel sendiri dan Alex hadir semasa perasmian. Alex telah berpisah dengan Bethany kerana mereka berdua merasa tidak sesuai. Akhirnya mereka Alex dan Rosie hidup bahagia selamanya.

Muhamad Adli bin Nur Hazwan, mengulas buku berjudul “Atonement” oleh Ian McEwan. Buku ini bermula dengan watak Briony, adik perempuan Cecilia sedang menyiapkan skrip lakonan pentas sempena perjumpaan keluarga. Ianya berlaku pada tahun 1935, beberapa tahun sebelum Perang Dunia ke 2. Robbie Turner, anak pembantu rumah, jatuh cinta dengan teman masa kecilnya Cecilia Tallis. Semasa pertengkaran mereka, Robie secara tidak sengaja memecahkan pasu dan mengarahkan Cecilia agar tidak berganjak dari tempatnya bagi mengelakkan terkena serpihan pasu tersebut. Tanpa diduga, Cecilia melompat ke dalam kolam air pancut. Peristiwa ini disaksikan oleh Briony, adik perempuan Cecilia yang berusia 13 tahun. Robbie secara tidak sengaja memberi surat yang salah kepada Cecilia melalui Briony dan surat tersebut telah dibaca oleh Briony terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada kakaknya. Disebabkan isi kandungan surat yang tidak sopan, Briony menggambarkan Robbie sebagai seorang “sex maniac”. Briony menemui Lola yang telah diserang secara seksual dan melihat kelibat lelaki melarikan diri ke dalam kegelapan. Dia telah menuduh Robbie tanpa usul periksa berdasarkan surat yang dibaca sebelum ini dan menyebabkan Robbie dipenjara. Semasa perang dunia ke 2, Robbie telah dibebaskan dari penjara dan menjadi anggota tentera. Robbie cedera dalam peperangan dan sedang menunggu untuk diselamatkan. Briony rasa bersalah sejak menyedari bahawa bukan Robbie yang memperkosa Lola. Sebagai usaha menebus kesalahannya, dia enggan pergi belajar di Cambridge. Sebaliknya dia menjadi jururawat latihan di London. Briony pergi mengunjungi kakaknya dan memberitahu dakwaan terhadap Robbie adalah palsu. Dia berjanji untuk menarik balik dakwaaan secara rasmi. Dia juga memberitahu bahawa Paul Marshall, perogol sebenar telah menikahi Lola. Cecilia dan Robbie tidak memaafkannya kerana telah memusnahkan kehidupan mereka. Di bab akhir buku mengisahkan Briony yang telah tua dan merupakan seorang pengarang terkenal. Dia mengulas buku autobiografi terkininya berjudul “Atonement”. Menurutnya babak lawatan ke rumah kakaknya dan memohon maaf kepada Robbie dan Cecilia adalah rekaan semata. Robbie dan Cecilia tidak bersatu kembali tetapi mati secara terpisah semasa perang.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada semua pengulas oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Puan Noraziah Binti Sharuddin.

 

Share this :