Sesi Read & Relax Siri 13/2020 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah diadakan pada 13 Ogos 2020 menggunakan aplikasi ZOOM dan ditonton secara lansung di facebook Perpustakaan UTM. Sesi kali ini menampilkan dua (2) orang pengulas iaitu Encik Hemnaarth a/l Tanakaran, Penolong Pegawai Tadbir, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,UTM dan Encik Mohammed Nabil bin Mahamad, Pegawai Tadbir, Pusat Kesihatan Universiti, UTM.


Pengulas pertama, Encik Hemnaarth a/l Tanakaran mengulas buku berjudul “Plunder and Deceit” oleh Mark R. Levin. Menceritakan tentang keadaan politik di Amerika Syarikat dimana masyarakat terpaksa bertolak ansur dan akur dengan dasar-dasar pendidikan yang digubal oleh kerajaan. Walaupun mereka tahu ianya amat merugikan mereka serta masa depan generasi akan datang, mulut mereka seakan terkunci untuk menyuarakan bantahan. Ia juga memberitahu kita tentang konflik di kalangan masyarakat itu sendiri yang mahu dipimpin tetapi dalam waktu yang sama ingin bebas mengutarakan pendapat serta cadangan.

Buku ini seakan ingin mengajak golongan muda bangkit serta menggunakan sepenuhnya peluang utk bersuara atas dasar demokrasi yang diterapkan di negara mereka. Pilihan adalah ditangan kita sendiri samada kita akan bersetuju dan mengikut sahaja pemerintahan yang bertindak tanpa asas perlembagaan yang baik atau kita akan bangkit menyuarakan hak-hak serta pendapat yang seterusnya akan menggesa pihak pemerintah memikirkan cara lain yang akan lebih menguntungkan semua pihak.

Maka bijaklah dalam membuat keputusan kerana segala keputusan yang kita buat akan memberi kesan yang berpanjangan. Bahan bacaan yang agak berat. Penggunaan bahasa Inggeris yang mudah untuk difahami tetapi menggunakan terma-terma politik yang agak asing untuk pemahaman mereka yang tidak mengikuti isu- isu tentang politik. Gaya bahasa yang jelas dan tidak berselindung dalam menyampaikan isi-isi penting untuk difahami.

Pengulas kedua iaitu Encik Mohammed Nabil bin Mahamad mengulas buku berjudul “Animal Farm” oleh George Orwell. Bahan bacaan ini lebih kepada sindiran tetapi menggunakan watak-watak haiwan dalam penceritaan. Berkisarkan tentang sekumpulan haiwan ternakan yang memberontak serta mengambil alih pemerintahan ladang ternakan tempat mereka tinggal setelah menggulingkan tuan ladang mereka sendiri. Mereka merasakan peladang tersebut  kejam dan hanya menggunakan mereka untuk kepentingan diri sendiri.

Mereka berharap dengan pemberontakan ini keadaan ladang akan lebih bebas, sama rata dan menggembirakan mereka lalu melantik seekor khinzir bernama Napoleon menjadi ketua kerana kebijaksanaannya. Walaubagaimanapun Napoleon menjadi semakin tamak dan gilakan kuasa membuatkan keadaan ladang menjadi lebih buruk daripada sebelumnya. Maka keadaan bertukar menjadi semakin kucar kacir. Pembaca seperti diingatkan supaya berjaga-jaga dengan kepimpinan yang kejam dan tidak bertimbang rasa. Sesetengah pemimpin ada yang menggunakan kuasa diktator mereka tanpa memikirkan kesan buruk kepada rakyat.

Tiada manusia yang sempurna, oleh itu kerjasama daripada semua pihak adalah penting untuk membina masyarakat yang berjaya. Walaupun kita cuba sedaya upaya untuk menerapkan kesama-rataan di dalam hidup bermasyarakat, ia sebenarnya adalah sesuatu yang mustahil untuk dijayakan. Ini kerana seseorang yang mempunyai kuasa kebiasaannya akan menjadi semakin tamak dan sanggup berbuat apa sahaja bagi melaksanakan impian dan memuaskan nafsu mereka sendiri. Penceritaan yang agak puitis dan klasik kerana buku ini diterbitkan ketika tahun 1945 lagi, era selepas perang dunia ke-2. Buku yang dikatakan agak kontroversi. Sesuai untuk bacaan ringan kerana berunsurkan sejarah dan politik yang santai.

Share this :