Pada 14 Januari 2021, satu sesi taklimat berkenaan Data Penerbitan dan RADIS telah diadakan khusus atas permintaan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Syahranah Binti Ahmad Raqi, Pustakawan Kanan daripada Seksyen Perkhidmatan Maklumat Penyelidikan, Perpustakaan UTM Johor Bahru melalui aplikasi Webex. Sesi ini dihadiri oleh Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM KL, Puan Nik Masriza Binti Zakaria dan semua Pustakawan UTM Kuala Lumpur. Turut serta adalah staf Perpustakaan UTM Pagoh dan Pustakawan dari Perpustakaan UTM Johor Bahru.
Objektif utama sesi ini adalah untuk berkongsi berkenaan proses pendaftaran dan semakan penerbitan penyelidikan di RADIS. Seperti yang sedia maklum, Perpustakaan UTM bertindak sebagai pemunya data penerbitan penyelidikan UTM. Kesemua data penerbitan UTM direkodkan di dalam satu sistem yang dikenali sebagai RADIS bagi memudahkan urusan pengesahan penerbitan bagi tujuan penilaian tahunan e-LPPT, kenaikan pangkat staf akademik serta menilai prestasi penerbitan bagi fakulti dan UTM sebagai Universiti Penyelidikan.
Antara perkara yang dikongsikan adalah berkaitan jenis kategori penerbitan yang didaftarkan dalam RADIS, kepentingan pendaftaran penerbitan kepada pensyarah dan Universiti serta proses semakan dan pengesahan penerbitan yang dilaksanakan. Sesi soal jawab turut diadakan sepanjang sesi taklimat bagi memantapkan lagi pemahaman serta merungkai sebarang persoalan yang terbit berkaitan pengurusan penerbitan.
Semoga taklimat yang diadakan ini dapat memberi manfaat kepada semua Pustakawan dan membantu meningkatkan mutu perkhidmatan Perpustakaan UTM secara amnya dalam memenuhi keperluan penyelidikan dan penerbitan staf akademik UTM.