Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 12 April 2021. Memorandum ini ditandatangani oleh Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur (UTMKL), Prof. Dr. Abd Latif Saleh dan juga Tn. Haji Shamsuri Suradi, Naib Yang Dipertua merangkap Setiausaha Kehormat MAS Kampong Bharu serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan UTMKL, Pn. Nik Masriza Zakaria dan Pegawai Undang-undang MAS Kampong Bharu, Encik Ghazali Md. Yunus.

Pro-Naib Canselor dalam ucapannya berkata, Gallery@UTMKL yang terletak di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur adalah satu usaha yang dibangunkan untuk dijadikan pusat informasi dan pusat rujukan penyelidikan dalam dan luar negara. Dalam masa yang sama, kewujudannya dapat melahirkan minat para pengunjung terutamanya warga UTM terhadap sejarah dan menghargai nilai warisan sejarah tersebut. Gallery@UTMKL ini menjadi pusat penyimpanan koleksi khusus kepada Sejarah Kampung Bharu melalui program libatsama UTM bersama masyarakat iaitu Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Jaringan Industri UTM (CCIN). Bahan koleksi Kampong Bharu juga disimpan secara digital di satu platform yang dinamakan UTM Virtual Gallery yang menempatkan pelbagai koleksi digital bahan galeri UTM. Dengan ini, pelbagai maklumat berkaitan koleksi galeri UTM dapat dicapai secara meluas.

 

Memorandum ini antara lain menyatakan persetujuan kedua belah pihak untuk membuat salinan (duplikasi) artifak dan dokumen daripada MAS kepada Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Artifak dan dokumen ini akan disimpan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur di bawah pengawasan staf perpustakaan. Manakala dokumen dan bahan yang sesuai akan melalui proses pendigitalan untuk penyimpanan secara maya. Selain itu, Program Perkongsian Ilmu akan dilaksanakan bagi mempromosikan bahan serta untuk merungkai maklumat yang ada di Kampong Bharu.
Kerjasama ini diharapkan menjadi kesinambungan ke arah pencapaian aspirasi dalam pembangunan koleksi digital dan perkembangan Gallery@UTMKL.

Share this :