Siri ke 13 program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 12 Ogos 2021 dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Cik Junaidah Bt Basir yang merupakan pembantu Pengurusan Murid Pendidikan Khas di SMK Taman Universiti, Skudai. Manakala pengulas kedua iaitu Ts. Yusnorsyazana Binti Mohd Yunos, arkitek daripada Jabatan Harta Bina, UTM.
Pengulas pertama iaitu Cik Junaidah Binti Basir telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Hanya Tuhan Yang Tahu oleh Liyana Farouk. Buku ini sarat dengan kata-kata yang berbentuk motivasi. Kandungannya terbahagi kepada 24 bab di mana setiap satunya mempunyai cerita dan tauladan yang boleh dijadikan pengajaran. Di antara bab yang dikongsikan adalah bab redha pada hati. Redha itu adalah apabila kita tidak meletakkan tanda soal pada setiap apa yang telah Allah noktahkan dalam takdir hidup kita. Intipati bab ini adalah bagaimana kita menerima suratan itu dengan penuh syukur kepada Allah swt.
Buku ini mempunyai gaya penceritaan dan penyampaian yang jelas. Susunan bahasanya teratur, jelas dan puitis. Antara kapsyen menarik yang dikongsikan pada muka belakang buku ini adalah “simpanlah cerita sedihmu dalam doa, adu dan serahkan segalanya kepada Allah, kerana jika diceritakan kepada satu semesta, apa yang kau rasa tidak akan difahami sepenuhnya. Cukuplah hanya Allah yang tahu dan semoga esok ia baik-baik sahaja”.
Pengulas seterusnya pula adalah Ts. Yusnorsyazana Binti Mohd Yunos yang berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Wang Emas : Bertahan Ketika Gawat Oleh Mohd Zulkifli Shafie. Buku ini mempunyai tujuh bab yang dimulakan dengan kisah hidup penulis itu sendiri. Bab-bab seterusnya menekankan tentang manfaat emas terhadap kewangan, cara hendak menggunakan emas, dan strategi pelaburan. Buku ini memberikan kesedaran kepada pengulas tentang tatacara pengendalian emas. Banyak keistimewaan dan kelebihan sekiranya emas dijadikan sebagai pelaburan. Bukan hanya menguntungkan malah boleh membantu untuk menyelesaikan masalah kewangan sekiranya berhadapan dengan krisis ekonomi.
Pengulas turut memberikan tips berkenaan kelebihan menyimpan emas secara fizikal untuk jangka masa panjang. Buku ini diceritakan secara asas yang mana ianya tidak melibatkan sebarang pengiraan. Malah sangat sesuai bagi mereka yang memang tidak mempunyai kemahiran langsung dalam selok-belok pelaburan emas. Buku ini mampu untuk menarik minat pembacanya untuk memulakan langkah pertama untuk berkecimpung dalam pelaburan ini.