Siri ke-lima belas program Read & Relax Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berlangsung pada 18 November 2021 dengan menampilkan dua orang pengulas iaitu Encik Azmi Bin Md Rais, Penolong Pegawai Sains Pusat Pengurusan Makmal Universiti, Jabatan TNC (P&I) UTM dan ChM. Rasyidi Bin Abd Mubin, Pegawai Sains, Fakulti Sains UTM. Program pada kali ini lebih menarik kerana buku yang diulas adalah dari tajuk sama iaitu Spektroskopi Inframerah: Aspek Praktikal dari perspektif penulis dan pembaca.
Panel pertama iaitu Encik Azmi Md. Rais, penulis buku Spektroskopi Inframerah: Aspek Praktikal yang diterbitkan oleh Penerbit UTHM. Kandungannya adalah berkisar pengalamannya selama 30 tahun dalam mengendalikan Spektroskopi Inframerah. Buku ini membincangkan Spektroskopi Inframerah yang dimulakan dengan teori perbincangan mengenali instrumen, teknik persampelan, kaedah perolehan dan cara untuk menjaga alat tersebut agar dapat memanjangkan jangka hayatnya. Tidak ketinggalan beliau turut berkongsi tentang cabaran yang dihadapi kerana penulisan adalah bukan bidangnya. Namun, sokongan yang diterima beliau oleh beberapa orang pakar akademik menyuntik semangatnya untuk terus menghasilkan buku ini. Tidak hanya tertumpu kepada promosi dan jualan buku, apa yang lebih utama kepada beliau adalah harapan agar usaha yang beliau curahkan hasil pengalaman dalam bentuk naskhah dapat dimanfaatkan oleh para pembaca khususnya kepada para pelajar, para akademik serta sesiapa sahaja yang menggunakan alat ini dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
Manakala panel kedua pula ChM. Rasyidi Bin Abd Mubin memberikan ulasan dari sudut pandangnya sebagai pembaca buku berkenaan. Pengulas menyatakan bahawa Spektroskopi Inframerah merupakan antara tajuk yang digunakan semasa sesi pembelajaran dan juga semasa peperiksaan pelajar ijazah sarjana muda di Fakulti Sains, UTM. Maka, buku ini sangat sesuai dijadikan sebagai salah satu sumber rujukan terutamanya pelajar kerana buku tersebut ditulis berdasarkan pengalaman dan bukan hanya sekadar teori. Tambahnya lagi karya Spektroskopi Inframerah merupakan karya yang berkualiti kerana ianya fokus dalam aspek praktikal. Justeru itu, pihak yang berkepentingan perlu membaca karya Spektroskopi Inframerah kerana mendatangkan manfaat kepada kita. Beberapa cadangan juga telah dinyatakan oleh pengulas antaranya membuat versi kedua di dalam Bahasa Inggeris, penambahbaikan kualiti gambar dan juga helaian berwarna untuk menjadikan karya ini boleh dipasarkan dengan lebih meluas.