Bicara Informasi Bersama Pustakawan telah diadakan sempena Hari Kokurikulum Mingguan UTM Kuala Lumpur Sem 1 Sesi 2021/2022 pada 4 Januari 2022 (Selasa). Program ini merupakan anjuran Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang melibatkan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM Kuala Lumpur bagi menyalurkan maklumat, fungsi dan peranannya kepada pelajar.


Setiap PTJ diberikan slot selama satu jam mengikut jadual yang dijalankan secara dalam talian menerusi platform Webex. Perpustakaan UTM di wakili oleh dua (2) orang Pustakawan Kanan iaitu Puan Sharifah Radhiah Syed Azman dan Puan Nurrull Huda Abdul Wahid bagi memberi maklumat dan pendedahan mengenai perkhidmatan, kemudahan dan koleksi yang disediakan di Perpustakaan UTM. Seramai lebih kurang 54 orang pelajar telah hadir untuk mengikuti sesi perkongsian ini.

Sebagai pengenalan, pelajar dimaklumkan penggunaan portal Perpustakaan UTM bagi mendapatkan maklumat terkini dan bahan seperti buku, artikel jurnal, majalah, dan sebagainya. Seterusnya pelajar didedahkan dengan Online Public Access Catalog (OPAC – OCEAN) bagi pencarian bahan dan pengaktifan akaun untuk peminjaman dan pemulangan buku. Perkara lain yang turut dikongsikan ialah perkhidmatan Inter Library Loan (ILL) iaitu peminjaman antara perpustakaan untuk mendapatkan bahan yang tiada dalam koleksi perpustakaan, kemahiran pencarian artikel jurnal melalui pangkalan data yang dilanggan oleh UTM dan penggunaan Document Magement System (DMS) untuk mendapatkan akses bahan koleksi UTM seperti tesis, soalan peperiksaan lepas dan artikel yang dibuat oleh komuniti UTM.


Slot terakhir diisi dengan kuiz yang menggunakan aplikasi menti.com untuk menguji kefahaman pelajar. Semoga ilmu yang disampaikan dapat dimanfaatkan bagi membina masa hadapan yang cemerlang dan terbilang.

 

 

Share this :