Pelancaran Buku Sedekad Transformasi UTM Kuala Lumpur (2010-2020) Sempena Program Disini Bermula, Gemilang UTMKL telah diadakan pada 16 Mac 2022, Rabu jam 2.30 petang. Program ini dilaksanakan selari dengan sambutan ulang tahun UTM yang ke 50 tahun. Acara ini dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor UTM dan diiringi oleh  YBrs. Prof. Ts. Dr. Abd. Latif Bin Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur).


Program yang diadakan di Menara Razak ini dipancarkan juga secara langsung menerusi platform Facebook Perpustakaan UTM  Kuala Lumpur. Buku Sedekad Transformasi UTM Kuala Lumpur (2010 -2020) ini di hasilkan oleh 5 orang Pustakawan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur  dan diketuai oleh Puan Nik Masriza Zakaria (Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur). Penceritaan dan pengisian buku ini berkait tentang pembangunan UTM Kuala Lumpur dari awal penubuhannya yang menjadi kampus pertama sehingglah transformasi yang berlaku sekarang.


Mengekalkan SOP yang ditetapkan kerajaan, program ini dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan seterusnya bacaan doa bagi memberkati majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Ts. Dr. Abd Latif Bin Saleh (Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur). Sebagai simbolik perasmian dan kemuncak acara, gimik melengkapkan puzzle kulit hadapan buku Sedekad Transformasi UTM Kuala Lumpur (2010 -2020) telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail. Simbolik puzzle tersebut adalah merupakan kepelbagaian latar belakang responden yang dijadikan sumber penghasilan buku ini akhirnya dapat dicantumkan dan disempurnakan menjadi satu dokumentasi yang lengkap untuk rujukan bersama. Sejurus gimik dilaksanakan,  video montaj Transformasi UTMKL ditayangkan  di mana tetamu dapat melihat perbezaan dahulu dan sekarang serta menyaksikan  perkembangan pesat yang berlaku di kampus UTM Kuala Lumpur ini. Acara diteruskan lagi dengan penyerahan cenderahati dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kerana menyempurnakan acara tersebut.


Sesi diteruskan dengan Program Bicara Karya oleh YBrs. Prof. Emeritus LAr. Dr. Ismawi Zen dimana beliau merupakan Alumni UTM dari pelajar (1973) sehingga menjadi pensyarah di UTM (1982). Ketokohan dan pengalaman beliau yang mengharungi dan merasai dari mula sehingga UTM berada ditahap yang tinggi adalah sangat berharga bagi menterjemahkan transformasi yang berlaku di UTM Kuala Lumpur.


Sebagai penutup program, lagu Keunggulan Terbilang dinyanyikan bersama-sama tetamu program. Semoga buku ini dapat memberi inspirasi dan menjadi sumber rujukan pada masa hadapan.

 

 

 

 

Share this :