Program Read & Relax di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 24 Feb 2022 dengan membawakan dua orang pengulas iaitu Encik Muhammad Azmi Bin Khalib, Pustakawan UTM daripada Seksyen Pengurusan Koleksi. Manakala pengulas kedua iaitu Encik Muhammad Afiq Izzuddin Bin Mat Jari, Pustakawan UTM daripada Seksyen Multimedia.

Pengulas pertama iaitu Encik Muhammad Azmi Bin Khalib telah berkongsi sebuah buku yang bertajuk Bestnya! PhD hasil nukilan Dr. Tiny Azleen Yahaya. Buku ini berkisar mengenai bagaimana cara untuk menyambung pengajian sehingga PhD. Berdasarkan buku ini pengulas dapat membayangkan bahawa perjalanan pengajian tinggi untuk mendapatkan PhD ini susah. Bak kata pepatah, lagi tinggi pucuk pokok, lagi kuat angin yang merempuhnya. Maka lagi tinggi ilmu yang diperoleh seseorang itu, lebih berat cabaran yang diberikan.

Encik Muhammad Azmi Bin Khalib mengulas sebuah buku bertajuk Bestnya! PhD

Pengulas telah menyatakan PhD adalah impian kebanyakan kita yang suka belajar sejak kecil. Namun gelaran ‘Dr.’ yang dipanggil di hadapan nama, ia diharungi dengan air mata dan kekecewaan yang tak sanggup kita hadapi. Kita gagal kerana kurang persiapan. Apa persediaan kita sebelum berhadapan dengan ‘Permanent Head Damage’ ini? Kuncinya, konsep CARI, BACA dan TULIS. Tak perlu risau lagi, buku ini mengandungi semua yang anda perlu tahu untuk menyambung pengajian sehingga ke PhD.

Pengulas kedua iaitu Encik Muhammad Afiq Izzuddin Bin Mat Jari pula telah berkongsi mengenai sebuah buku yang bertajuk Pendiam? : Memahami Personaliti Introvert Dalam Dunia Extrovert karya Aiman Amri dan Akila Masri. Pengulas tertarik untuk memiliki dan membaca buku ini kerana buku ini memberi pendedahan mengenai pengajaran yang memberi impak kepada diri kita iaitu menjadi diri sendiri dan tidak perlu ubah personaliti kita mengikut cara orang lain.

Encik Muhammad Afiq Izzuddin Bin Mat Jari mengulas sebuah buku bertajuk Pendiam? : Memahami Personaliti Introvert Dalam Dunia Extrovert

Buku ini memberi pendedahan kepada pengulas bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu digilap potensinya. ‘Pendiam?’ menampilkan situasi yang Introvert dalam masyarakat agar personaliti ini lebih difahami dengan kekuatan yang mereka ada.

Semoga perkongsian ini dapat menyuntik semangat serta memberi manfaat kepada semua pendengar.

Share this :