Pada 30 Jun 2022, Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Pembudayaan Ilmu Sempena Sambutan 50 Tahun UTM dengan tajuk Forum Bicara Inspirasi Bersama Tokoh UTM. Program ini telah bersiaran langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur selama 3 jam 15 minit bermula 2.30 petang sehingga 4.15 petang. Program ini dikendalikan oleh moderator saudara Syairul Islam Basmullah dengan menampilkan dua tokoh tersohor UTM yang tidak asing lagi iaitu Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)) dan Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir (Naib Canselor, Universiti UCSI). Objektif utama program ini dilaksanakan adalah sebagai platform perkongsian ilmu, pandangan dan pengalaman daripada tokoh – tokoh hebat UTM yang sangat dikenali di persada pentadbiran negara.
Pada awal pengenalan program, kedua-dua panel tokoh UTM memulakan mukadimah dengan menerapkan inspirasi kepada setiap individu perlu melihat sejauh mana matlamat yang besar boleh memberikan kesan kepada kehidupan. Ianya perlu melihat apa dan di mana hala tuju sebenar dan menegaskan pilihan melanjutkan pelajaran akan dapat mengubah ekonomi dan kehidupan keluarga dengan lebih baik. Namun, perubahan ini dapat dirasai bermula pada tahun 2015 ketika pembangunan mula rancak ke hadapan dan merasakan pelajar perlu tahu apa matlamat sebenar untuk mencapai sasaran dalam kehidupan yang lebih berkualiti. Berbalik kepada Dato’ Seri Dr Zaini Ujang, beliau berkongsi ketika ditakuk pentadbirannya sesuatu perubahan yang telah dilaksanakan dengan menjadikan UTM sebagai “Universiti Penyelidikan (RU)” dengan memperkasakan program berkaitan Pasca Siswazah untuk memastikan gelaran RU tercapai. Justeru itu, beberapa pindahan program telah ditukarkan ke SPACE seperti pengajian Diploma dan terus diperkasakan sehingga kini.
Ditanya mengenai perancangan RMK-9, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah menceritakan peranan beliau ketika berada di fasa pertama dalam usaha membangunkan prasarana pembangunan UTM dan telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menyakinkan pihak kementerian untuk penambahan dari segi kewangan. Dato’ Seri Dr Zaini Ujang juga menzahirkan rasa bersyukur kerana perancangan RMK-9 ini mendapat kerjasama dan persetujuan dari kesemua Lembaga Pengarah UTM. Tambahan pula, misi menjadikan kampus UTM sebagai kampus perhubungan antarabangsa perlu diteruskan supaya dapat bersaing lebih kompetitif dan berkualiti. Misi ini adalah idea dan saranan daripada Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah ketika ditanya mengenai perkara yang tidak sempat dilaksanakan sepanjang tempoh berkhidmat.
Dato’ Seri Dr Zaini Ujang juga menjadikan Imperial College London sebagai contoh terbaik untuk univerisiti tempatan. Beliau mengatakan universiti seharusnya adalah destinasi untuk masyarakat bukan sahaja destinasi menuntut ilmu sahaja, malahan menjadi destinasi menyuburkan perasaan cintakan ilmu. Universiti juga perlu menjadi daya tarikan bukan sahaja untuk akademik tetapi juga menjadi tempat penyuburan rasa semangat dalam mengembangkan ilmu bersama masyarakat. Beliau juga berkata kewujudan sesuatu universiti juga perlu dibangunkan di kawasan maju dan diberikan pendedahan yang lebih relevan.
Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berpandangan bahawa, kekuatan UTM adalah di atas bakat yang sedia ada di dalam universiti itu sendiri yang merangkumi network dan intelektual. Beliau memberi contoh terdekat iaitu Naib Canselor UTM yang merupakan generasi yang dilahirkan dengan Branding UTM. Seterusnya beliau turut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi semasa pandemik yang memerlukan kreativiti untuk menghadapinya dan sokongan teknologi untuk menyelesaikan masalah mengikut kesesuaian atau kaedah universiti tersebut.
Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir menegaskan agar universiti perlu jelas dengan matlamat dan hala tuju serta fokus untuk mencapainya. Komunikasi, clarity dan teamwork adalah sangat penting. Kesimpulannya, warga universiti perlu sentiasa berfikiran positif dan berpandangan ke hadapan supaya universiti kekal unggul di persada antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada semua.
Artikel ini disediakan oleh Puan Siti Liyana Binti Ab Rahman dan Puan Siti Aznur Binti Mohd Salleh.