Perpustakaan UTM, Bangunan Raja Zarith Sofiah telah menerima kunjungan daripada Sekolah Kebangsaan Sri Permai JHEOA, Gua Musang Kelantan pada 17 Oktober 2022 (Isnin) pada jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi.  Lawatan merupakan sebahagian daripada tentatif bagi Program Sukarelawan dan Kelestarian Pendidikan Orang Asli “KANEK KAWAN KENBE 3.0” yang turut diadakan di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim.

Seramai 30 orang murid dan 12 orang guru pengiring telah di sambut mesra oleh Encik Md Razib Karno, Timbalan Ketua Pustakawan dan Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan. Satu taklimat ringkas dan kata alu-aluan telah diberikan oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub selaku wakil pengurusan Perpustakaan UTM.

Seterusnya urusetia Program KANEK KAWAN KENBE 3.0 memberi penerangan ringkas berkaitan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sepanjang mereka berada di sini. Para pelawat dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap satu kumpulan dibawa melawat sekitar perpustakan oleh staf Pembantu Pustakawan dari Unit Perundingan Maklumat (RMZS) iaitu Puan Siti Norlela Isnin, Puan Kartini Ibrahim dan Muhammad ‘Atiff.

Sepanjang lawatan tersebut, murid-murid dan guru di bawa melawat ruang dan fasiliti yang disediakan di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Semoga lawatan ini menjadi pembakar semangat buat murid-murid untuk berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Aktiviti seterusnya selepas lawatan adalah berkaitan Modul STEM:
• Roket Air
• Pembuatan Aiskrim
• Liquid Fire

Program lawatan dan juga aktiviti seperti ini secara langsung dapat memberi pengalaman sebenar supaya murid-murid boleh meneroka apa yang ada di sekililing mereka. Aktiviti di luar bilik darjah ini juga dapat memberi pengalaman cara berinteraksi dan bersosial dengan masyarakat di luar.

 

Share this :