Program ini telah diadakan pada 28 September 2022 secara dalam talian melalui medium webex, dari jam 11.00 pagi – 12.00 tengahari. Panel Penceramah ialah Pn Haslina Nassir, Ketua Seksyen Pembangunan Sumber & Katalog, Bahagian Perancangan & Pembangunan, Jabatan Perpustakaan UTM. Siri Bicara Pengurusan ini diadakan secara berkala setiap bulan dalam kalangan semua Pentadbir Jabatan Perpustakaan UTM. Agenda utama perkongsian adalah merangkumi fungsi dan skop tugas di bawah Seksyen Pembangunan Sumber Katalog.

Seksyen Pembangunan Sumber & Katalog mempunyai beberapa unit iaitu Unit Perolehan Bahan, Unit Jurnal & Media Elektronik, Unit Hadiah & Pertukaran, Unit Katalog serta satu unit baharu iaitu Unit Pemeliharaan & Pemuliharaan (sebelum ini di bawah Seksyen Pengurusan Koleksi).

Seterusnya Pn Haslina menerangkan mengenai sejarah Seksyen dari tahun 2013 sehingga 2022. Objektif seksyen ini adalah membangunkan sumber koleksi bahan iaitu berbentuk cetak dan digital bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seksyen ini juga menjalankan tugas seperti pengkatalogan iaitu mewujudkan garis panduan pengurusan katalog, pengelasan dan penetapan tajuk mengikut piawai antarabangsa. Antara peranan lain adalah bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara sumber perpustakaan agar sentiasa dapat menjadi rujukan di masa akan datang.

Panel juga menerangkan kaedah pengurusan perolehan bagi sumber yang mana ia perlu mematuhi tatacara perolehan yang telah ditetapkan oleh pihak Bendahari UTM. Panel juga telah menyenaraikan semua pangkalan data yang telah dilanggan untuk rujukan semua staf. Kursus ini telah dihadiri oleh semua staf Jabatan Perpustakaan UTM dari semua cawangan Johor Bahru, Pagoh dan Kuala Lumpur.

Di akhir perkongsian, panel memaklumkan pencapaian staf Seksyen yang terlibat di dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif. Semoga pencapaian ini memberi inspirasi kepada staf lain untuk turut cemerlang dan memberikan sumbangan dalam meningkatkan mutu penyampaian jabatan.

Share this :