Pada 15 Disember 2022 telah berlangsungnya Program Kayuhan Lestari 2.0 anjuran Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Green Office Perpustakaan UTM. Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Kayuhan Lestari 1.0 yang berlangsung pada 18 November 2021. Program ini terbuka kepada semua staf Jabatan Perpustakaan UTM terutama staf di bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan Perpustakaan Fakulti. Program ini bukan sahaja melibatkan aktiviti berbasikal tetapi terdapat juga aktiviti plogging di sebahagian kawasan berhampiran Tasik Ilmu UTM.
Justifikasi utama program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat riadah dan menghargai alam sekitar dalam kalangan staf Jabatan Perpustakaan UTM. Di samping itu, program ini secara tidak langsung mampu membina jalinan ukhuwah dan menggalakkan staf Jabatan Perpustakaan UTM untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti seperti berbasikal.
Pn. Nor Asikin Binti Mohamad selaku Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM telah menyempurnakan acara ‘flag off’ kepada 26 peserta yang terdiri daripada staf Perpustakaan UTM pada jam 8.30 pagi di kawasan parkir bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Program kayuhan ini turut diserikan lagi dengan penyertaan wakil daripada UTM Campus Sustainability, Encik Kiflee Bin Jimpi dan seorang peserta luar yang turut serta dalam menjayakan program ini.
Aktiviti plogging di sebahagian kawasan Tasik Ilmu telah disambut baik oleh staf perpustakaan UTM yang terlibat di mana mereka telah bersungguh-sungguh dalam membersihkan kawasan tersebut. Walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan kerana hujan, namun para peserta masih meneruskan aktiviti kayuhan sehingga ke lokasi terakhir. Pihak Perpustakaan UTM mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peserta yang menyertai program Kayuhan Lestari 2.0 dan diharapkan akan ada kesinambungan program seperti ini pada masa akan datang.