Program Siri Bicara Pengurusan 11/2022, telah diadakan pada 22 Disember 2022 secara atas talian melalui medium Webex, dari jam 10.00 pagi sehingga 11.00 pagi. Panel bagi Siri Bicara Pengurusan ini adalah Pn. Syahranah Ahmad Raqi, Ketua Seksyen Pengurusan Koleksi, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perpustakaan UTM.

Pn. Syahranah telah menyampaikan maklumat mengenai fungsi dan skop tugas di bawah Seksyen Pengurusan Koleksi di PSZ dan PRZS iaitu Perkhidmatan & Pengurusan Koleksi serta hala tuju dan cabaran yang dihadapi oleh seksyen di bawah seliaannya.

Antara perkara yang dibincangkan adalah inovasi ruang yang dibuat menggunakan peruntukan daripada  Perpustakaan Digital Bank Rakyat yang dikenali sebagai Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner. Selain itu, beliau juga menerangkan tentang jumlah dan nilai pangkalan data yang dilanggan untuk kegunaan semua pengguna di UTM, contohnya e-newspaper, Emerald dan lain-lain.

Semasa sesi taklimat,turut dimaklumkan bahawa ruang Sudut Bacaan Tan Sri Salleh bin Mohd Nor telah selamat dirasmikan pada 24 November 2022 dan dibuka untuk semua pengguna Perpustakaan UTM. Sudut bacaan tersebut bertempat di Aras 2, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).

Pn. Syahranah juga memaklumkan bahawa beberapa ruang Reading Station (UTMRS) telah dinaik taraf sebelum PKP dan proses menaik taraf Reading Station akan diteruskan lagi pada tahun 2023.

Antara cabaran yang dihadapi dalam perkhidmatan di Seksyen Pengurusan Koleksi adalah perpustakaan itu sendiri di mana usia Perpustakaan Sultanah Zanariah telah melebihi 30 tahun di mana fasiliti bangunan semakin uzur dan ada diantaranya telah rosak. Oleh yang demikian, terdapat halangan yang bersifat sementara dan kekal dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan selesa untuk pangguna di perpustakaan.

Program ini telah dihadiri oleh semua staf Jabatan Perpustakaan UTM secara atas talian.

Share this :