BookTalk@Library Siri 7 telah diadakan pada 21 Mac 2023. Sesi kali ini lebih istimewa kerana ia diadakan serentak dengan Majlis Ihya Ramadhan Perpustakaan UTMKL 1444H anjuran Kelab Keluarga Staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Perkongsian kali ini menampilkan Pn. Siti Aznur binti Mohd Salleh dan En. Mohamad Alif bin Mohamad Desa. Pn. Siti Aznur telah memilih sebuah buku berjudul 5 Langkah Mengekalkan Kesihatan & Kecantikan yang ditulis oleh Anjali Arora.

Menurut penulis, minum air yang banyak mampu mengekalkan tahap hidrasi yang diperlukan oleh tubuh badan. Hal ini sekaligus memberi kesan kepada kelembapan kulit. Untuk itu, beliau mencadangkan untuk minum 8 gelas air sehari bagi setiap individu. Beliau turut berkongsi pemakanan yang diamalkan seharian di mana beliau mengamalkan pemakanan seimbang dan mengutamakan sayur serta buah sebagai hidangan tambahan. Umum mengetahui bahawa sayur serta buah-buahan mempunyai banyak nutrisi. Selain itu, beliau berkongsi penjagaan luaran kulit di mana kebersihan kulit perlu dijaga dengan mencucinya dengan pencuci yang sesuai.

Program seterusnya diteruskan dengan perkongsian dari En. Mohamad Alif bin Mohamad Desa yang memilih buku Hikmah Berpuasa Di Bulan Ramadhan yang merupakan hasil karya Dr. ‘Aid Abdullah Al-Qarni. Menurut beliau, buku ini menghuraikan tentang ibadah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya.

Penulis buku tersebut turut berkongsi amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan di bulan Ramadhan. Antaranya ialah melambatkan sahur dan menyegerakan berbuka. Selain itu, disunatkan juga untuk berbuka dengan kurma terlebih dahulu di samping amalan bersedekah dan sebagainya yang memberi manfaat pahal kepada diri dan juga memberi kebaikan kepada orang lain. Sebelum mengakhiri perkongsian, pengulas turut menegaskan bahawa ibadah puasa ini sememangnya ibadah untuk meningkatkan tahap ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. selain melatih diri kita untuk menjadi lebih sabar dalam menghadapai ujian dan cabaran hidup. Selain itu, ibadah puasa juga boleh mandatangkan keinsafan kepada diri kita terhadap kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang lain.

Share this :