Program Ijtihad Pustaka 2024 yang telah berlangsung sebanyak tiga (3) siri sebelum ini tamat secara rasminya dengan penganjuran siri ke-4 pada 3 April 2024 (Rabu). Siri ke-4 ini bertajuk Itulah Al-Aqsa dan telah disiarkan secara atas talian melalui platform Facebook Perpustakaan dan juga Youtube UTM Johor Bahru selama satu (1) jam bermula dari 11.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Panel jemputan bagi siri kali ini ialah Ustaz Mohammad Mufid bin Jamaludin, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Johor manakala moderator bagi sesi ini ialah Encik Syafiq Zulakifli, Pensyarah, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim. Bagi sesi kali ini, buku yang dikupas bertajuk Itulah Al-Aqsa merupakan  terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini adalah hasil tulisan Abdul Aziz Hussin yang telah diterbitkan pada tahun 2020.


Panel mula mengulas buku ini dengan memfokuskan kepada sejarah nama Al-Aqsa. Dari segi bahasa ia membawa maksud perjalanan yang jauh. Secara umum, Masjid Al-Aqsa telah melalui lipatan sejarah yang sangat panjang. Masjid ini pernah menjadi kiblat pertama umat Islam suatu ketika dahulu sebelum diwahyukan Allah untuk bertukar arah ke Masjidil Haram di Makkah. Bagi umat Islam, Al-Aqsa merupakan saksi sejarah perjalanan Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW.


Panel turut menerangkan tentang lokasi Al-Aqsa yang terletak di tanah Syam (berada di utara semenanjung tanah Arab). Pada zaman dulu masyarakat Arab sering meniaga barang dagangan mereka sehingga ke negeri Syam. Banyak riwayat menyatakan bahawa Masjid Al-Aqsa adalah masjid yang kedua dibina selepas Masjidil Haram dan tempoh pembinaan adalah selama 40 tahun mengikut rujukan hadis yang sahih.

Menurut panel lagi, jika dilihat senibina Masjid Al-Aqsa pada hari ini, beliau menyatakan bahawa ia telah diubahsuai pada zaman Saidina Umar al-Khattab selepas  pembebasan Baitul Maqdis yang telah dipimpin oleh Saidina Umar al-Khattab dengan tentera-tenteranya.

Penjarahan Zionis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa pada masakini adalah perkara yang kita tidak boleh terima sama sekali dan sewajarnya umat Islam bersatu hati dalam usaha untuk membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis. Masjid Al-Aqsa juga adalah merupakan salah satu (1) lambang hak dan maruah umat Islam di seluruh dunia sementelah pula ia pernah dibebaskan sepenuhnya dari penjajahan orang-orang kafir musyrik.

Semoga perkongsian yang telah disampaikan oleh panel jemputan dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan bermanfaat serta gambaran mengenai masjid Al-Aqsa kepada penonton dan pentingnya buat kita untuk mempertahankan hak umat Islam ke atas masjid ini daripada anasir luar yang cuba memusnahkannya.

Share this :