18 April 2024, Khamis – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menerima kunjungan lawatan daripada Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ) yang terdiri daripada 36 orang pelajar dan tiga (3) orang pensyarah pengiring. Mereka turut diiringi oleh staf dan pegawai daripada Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM. Lawatan ini telah dikendalikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin dan Puan Liza Porijo selaku pustakawan bertugas.

Sesi lawatan ini telah berlangsung selama satu (1) jam 30 minit. Pustakawan bertugas telah menerangkan dan berkongsi serba ringkas tentang perkhidmatan yang disediakan di JPUTM seperti waktu perkhidmatan, koleksi-koleksi bahan yang terdapat di perpustakaan yang disediakan untuk mahasiswa UTM. Setelah sesi penerangan tamat, para pelawat telah dibahagikan kepada dua (2) kumpulan. Kumpulan pertama diiringi oleh satu (1) orang petugas iaitu Puan Nur Nazurah Nordin dan kumpulan kedua pula diiringi oleh satu (1) orang petugas iaitu Puan Liza Porijo.

Sesi lawatan dimulakan dengan berkunjung ke Galerium UTM yang terletak di aras 2, bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Galerium UTM menempatkan artifak-artifak milik UTM sedari awal penubuhannya termasuk alat-alat yang digunakan di fakulti-fakulti dan jabatan-jabatan lain seperti mesin taip, kamera proses, projektor dan komputer edisi terawal berjenama Apple. Encik Mohd Faezan Abd Jalil dan Puan Amirah Husna Mohd Khairulnisa dari Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi telah mengendalikan sesi lawatan di Galerium UTM dan menerangkan serba sedikit mengenai sejarah penggunaan artifak-artifak tersebut.

Seterusnya, sesi lawatan diteruskan ke aras 4 dan 5 dimana kebanyakan koleksi bahan bercetak ditempatkan. Bahan-bahan ini digunakan oleh mahasiswa UTM bagi tujuan merujuk, mengulangkaji dan menyiapkan tugasan. Di samping itu, para pelawat turut diberi penerangan mengenai perbezaan koleksi buku berdasarkan kategori iaitu layanan terbuka dan layanan terhad. Sesi lawatan diakhiri dengan penyerahan cenderahati kepada wakil KMKJ dan sesi fotografi bersama semua peserta lawatan. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang terbaik kepada para peserta lawatan. Dan secara tidak langsung sesi lawatan ini dapat menarik minat mereka untuk memilih UTM untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi di masa hadapan.

 

Share this :