27 Mei 2024, Isnin – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menerima kunjungan lawatan dari wakil Perpustakaan Kontena, Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai. Lawatan ini merupakan rentetan program khidmat masyarakat yang sedang berjalan pada tahun ini dan juga program Dekad Membaca yang lalu.  Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelawat tentang sejarah penubuhan Perpustakaan UTM dan peranannya dalam memberi perkhidmatan kepada para mahasiswa. Selain dari itu, ia juga bertujuan untuk mengenali bahan perpustakaan, perkhidmatan dan fasiliti yang ada di dalam Perpustakaan UTM. Petugas lawatan bagi sesi ini ialah Puan Liza Porijo dan Puan Nur Nazurah Nordin.

Seperti kelazimannya, peserta lawatan dibawa ke Galerium UTM yang bertempat di aras 2, bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang menempatkan artifak-artifak sejak penubuhan awal UTM bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran. Seterusnya peserta lawatan dibawa menjelajah ke keseluruhan aras 2 yang turut dikenali sebagai Living Gallery yang menempatkan bukan sahaja koleksi-koleksi jurnal dan majalah malah meja dan kerusi turut merupakan perabut yang digunakan pada penubuhan awal perpustakaan.

Seterusnya para peserta dibawa melawat ke fasiliti yang berada di PSZ. Antaranya ialah, bilik karel, bilik Eksekutif, bilik perbincangan, bilik seminar dan makmal computer. Para pelawat teruja melihat Bilik 24 jam yang disediakan kepada mahasiswa. Selain itu, para pelawat turut dibawa untuk melihat koleksi peta yang berada di PSZ.

Selain itu, turut diadakan taklimat sistem KOHA yang disampaikan oleh Encik Azmi Khalib dan dibantu oleh Encik Mohammad Saddam Mohd Jalani. Turut diadakan sesi one-on-one bersama wakil Perpustakaan Kontena yang bakal menguruskan dan mentadbir Perpustakaan Kontena itu nanti.

Sesi lawatan ini berakhir pada jam 1.00 petang dan sesi penyempaian cenderahati telah disampaikan oleh Puan Liza Porijo kepada wakil pelawat. Semoga perkongsian ilmu pada hari ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang terbaik kepada para peserta dalam sesi lawatan pada hari ini.

Share this :