8 April 2025 (Selasa) – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) berbesar hati menerima kunjungan lawatan oleh University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW). Kunjungan yang terdiri daripada 26 orang pelajar bersama seorang pegawai pengiring ini disambut mesra oleh staf perpustakaan yang telah ditugaskan untuk memastikan kelancaran lawatan ini.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada program exploreAsian yang disertai oleh delegasi universiti ini di mana ia merupakan program yang menumpukan kepada persefahaman antarabangsa dan sinergi akademik.
Puan Sharifah Radhiah Syed Azman selaku Pustakawan bertugas telah mengiringi dan memberikan penerangan kepada para pelawat mengenai pelbagai perkhidmatan perpustakaan kepada mereka.
Para peserta lawatan di bawa ke Ruang Galeri bagi meneroka dan melihat pelbagai koleksi bahan yang dipamerkan serta mendapatkan maklumat lanjut tentang kepentingan galeri sebagai ruang pembelajaran dan penyebaran ilmu di PSZKL.
Seterusnya, para pelawat dibawa ke Ruang Pameran bagi menikmati pengalaman yang menyeronokkan dengan bermain permainan tradisional Malaysia seperti congkak, batu seremban, ceper, ting ting, sepak raga, dan tating lawi. Kain batik sarung telah disumbangkan oleh staf UTM International, manakala perpustakaan menyediakan ruang untuk pengalaman yang bermakna dan menggembirakan ini.
Kunjungan lawatan diakhiri dengan sesi bergambar bersama staf UTMKL yang terlibat dan para peserta lawatan. Semoga dengan lawatan ini hubungan antara dua institusi dapat dipererat sekaligus memperkayakan pengetahuan kebudayaan bangsa yang berbeza dan unik.
Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pelajar-pelajar dan pensyarah ‘University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW)’ atas kesudian mereka untuk meluangkan masa mengunjungi PSZKL.
Tidak dilupakan juga kepada UTM International Kampus Kuala Lumpur kerana menjadikan program ini sebagai salah satu wadah pemahaman dan pertukaran budaya yang menarik meskipun dengan lawatan yang singkat. Semoga pengalaman mereka di UTM akan terus dikenang sebagai sesuatu yang istimewa dan penuh makna.
Author : Norzilah Binti Abd Aziz