Pada 16 Julai 2025, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menerima kunjungan lawatan daripada Universiti Ruhuna, Sri Lanka yang melibatkan 6 orang pelajar bersama 3 orang guru pengiring. Lawatan yang bermula pada jam 11.00 pagi ini disambut mesra oleh staf perpustakaan yang bertugas bagi memastikan kelancaran keseluruhan sesi lawatan ini.
Puan Sharifah Radhiah Syed Azman selaku pustakawan bertugas telah mengiringi kumpulan pelawat dan menyampaikan taklimat ringkas berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan di perpustakaan. Para peserta turut dibawa melawat ke Ruang Galeri untuk melihat pelbagai koleksi pameran serta memahami fungsi galeri sebagai ruang pembelajaran dan penyebaran ilmu.
Lawatan diteruskan ke Ruang Pameran di mana para pelawat diberi peluang merasai pengalaman unik dengan mencuba pelbagai permainan tradisional Malaysia seperti congkak, batu seremban, ceper, ting ting, sepak raga, dan tating lawi, sekali gus memberi nilai tambah kepada pemahaman budaya tempatan.
Pada 17 Julai 2025, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sekali lagi berbesar hati menerima kunjungan daripada 23 orang pelajar Harapan Umat Islamic Boarding School, Kerawang, Indonesia bersama-sama guru pengiring. Para pelajar turut dibawa melawat ke Ruang Galeri, Ruang Pameran, serta Ruang Bacaan dan Koleksi Buku di Aras 3 dan Aras 4, dengan bimbingan staf perpustakaan.
Tujuan utama kedua-dua lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar dalam menimba pengalaman serta meneroka suasana dan persekitaran institusi pengajian tinggi.
Lawatan seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara institusi, malah membuka peluang kerjasama rentas sempadan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan. Perpustakaan UTM Kuala Lumpur berharap untuk terus memainkan peranan sebagai platform ilmu yang menyumbang kepada pembangunan akademik di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pihak perpustakaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kunjungan ini. Semoga segala maklumat dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peserta.