Program K-Sharing bertajuk ‘Inspirasi Saintis Muda’ telah dilaksanakan pada 30 Oktober 2025 di Perpustakaan Sultanah Zanariah sempena sambutan UTM Library Eduvibe. Sesi inspirasi ini menampilkan PM Ir. Dr. Mimi Haryani Binti Hassim, seorang pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM. Program ini dimoderatorkan oleh Dr. Amni Haslinda Binti Al-pandi, yang juga merupakan pensyarah dari fakulti yang sama. Fokus utama perkongsian adalah mengenai perjalanan kerjaya beliau sebagai saintis dan jurutera wanita di Malaysia, merangkumi cabaran dan kejayaan dalam bidang Sains dan Teknologi (STEM), serta perkongsian nasihat dan inspirasi kepada pelajar muda (Saintis Muda) untuk menceburi bidang sains.

PM Ir. Dr. Mimi Haryani Binti Hassim berkongsi bahawa minat beliau terhadap matematik dan sains, khususnya Kimia, telah membentuk beliau menjadi seorang yang berfikiran logik dan berasaskan fakta. Walaupun pada awalnya beliau berhasrat untuk menjadi doktor perubatan sejurus tamat SPM, beliau ditawarkan program asas (Foundation) di UTM melalui penajaan MARA.


Setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan, beliau membuat keputusan untuk menamatkan pengajian ijazah dalam tempoh tiga tahun. Beliau akhirnya memilih Kejuruteraan Kimia, kerana subjek matematik yang menjadi tunjang utamanya sangat selari dengan minat beliau, selain prospek kerjaya yang luas merangkumi bidang seperti keselamatan (safety), proses (process), semikonduktor, dan peluang untuk memberi impak positif kepada dunia walau sekecil mana pun.


Beliau turut menegaskan bahawa sains sentiasa berkembang. Justeru, beliau menasihati agar setiap individu menanamkan semangat ingin tahu dan komitmen untuk belajar perkara baharu sepanjang hayat, baik di sekolah mahupun universiti. Selain itu, penting untuk memilih bidang pengkhususan yang diminati (seperti Kejuruteraan Kimia, Bioteknologi, atau Sains Data) dan memfokuskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi (Diploma, Ijazah, Sarjana, PhD).


Secara ringkasnya, menjadi Saintis Muda bukan hanya bergantung pada keputusan cemerlang di kelas, tetapi lebih kepada membina minda yang ingin tahu, gigih dan berkemampuan menyelesaikan masalah menggunakan kaedah saintifik.

Share this :
UTM Open Day