Putrajaya, 7 November 2025 – Program Telaah yang dianjurkan bersempena dengan Festival of Ideas Putrajaya 2025 menarik perhatian warga akademik dan mahasiswa apabila penulis prolifik terkenal, Dr. Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan namanya iaitu Faisal Tehrani telah hadir memenuhi jemputan untuk membicarakan karya beliau yang berjudul 1515.

Program ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) dan dikendalikan secara sinergi oleh Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini telah berlangsung di Dewan 10, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).



Sesi Telaah ini telah dikendalikan oleh Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar selaku moderator dan berlangsung dalam suasana wacana santai. Beliau telah mengemukakan soalan yang berfokus kepada isi serta watak utama di dalam buku ini di mana Dr. Faisal menerangkan kepada penonton berkaitan penghasilan watak-watak tersebut di samping turut berkongsi mengenai latar proses penghasilan novel beliau ini.

Menurut Dr. Faisal lagi, novel 1515 ini diinspirasikan daripada peristiwa sebenar kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Namun beliau membayangkan penulisan fiksyen sejarah ini dengan perspektif yang berbeza. Melalui pendekatan “sejarah alternatif”, novel ini mengajak pembaca membayangkan dunia di mana Melaka tidak jatuh ke tangan Portugis, sebaliknya bangkit semula melalui kekuatan dan kebijaksanaan pahlawan wanita bernama Tun Nyemah Mulya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sejarah tidak hanya hidup dalam bentuk catatan rasmi semata-mata, tetapi juga melalui sejarah lisan, budaya dan imaginasi masyarakat. Justeru, 1515 berfungsi sebagai satu bentuk “alam alternatif” (alternate universe) yang membuka ruang kepada tafsiran baharu tentang apa yang mungkin berlaku sekiranya naratif sejarah diolah dari sudut pandang lain.

Turut hadir dalam program ini ialah ketua-ketua pustakawan universiti awam (UA) dari seluruh negara, selain kehadiran mahasiswa yang memberikan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh budaya membaca dan menghargai sastera sebagai wadah pembinaan pemikiran bangsa.


Program ini bukan sekadar sesi telaah karya, tetapi wadah untuk memahami bagaimana sastera dapat menjadi jambatan antara sejarah, imaginasi dan identiti nasional. Perbincangan seperti ini memperlihatkan bahawa karya sastera bukan sekadar bacaan akademik, tetapi cerminan minda yang mengajak kita menyoal, berfikir dan menilai semula siapa kita sebagai bangsa yang mewarisi tamadun panjang.

Dengan sambutan menggalakkan daripada pelajar dan warga akademik, program ini diharap dapat diteruskan sebagai platform berterusan bagi menyemai minat terhadap bacaan bermutu dan memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual negara

Share this :
UTM Open Day