Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah menganjurkan bengkel penerbitan buku 55 tahun UTM (siri pertama) pada Rabu, 7 Januari 2026, bertempat di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 1, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru. Bengkel yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini diadakan bersempena persediaan penerbitan buku khas sempena 55 tahun penubuhan UTM.

Bengkel ini menampilkan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin sebagai penceramah utama, yang berkongsi kepakaran beliau dalam aspek penulisan, naratif dan penyelidikan bagi menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi dan berimpak.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta, diikuti ucapan alu-aluan oleh YBrs. Pn. Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Pustakawan JPUTM. Seterusnya, peserta diberi taklimat berkaitan bengkel serta projek penerbitan buku 55 Tahun UTM oleh En. Yosman Mohd Bain, Pegawai Tadbir (Penerbitan).

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan kaedah penulisan dan pembinaan naratif buku, diikuti sesi kaedah penyelidikan, penulisan bab serta penetapan garis masa projek yang dikendalikan sepenuhnya oleh YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin. Bengkel ini turut merangkumi sesi perbincangan, rumusan dan penutup bagi memastikan kefahaman serta hala tuju projek penerbitan dapat dicapai dengan jelas.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman peserta serta menjadi pemangkin kepada penghasilan buku 55 Tahun UTM yang berkualiti, berwibawa dan mencerminkan sejarah serta pencapaian universiti.