Seramai 28 orang pelajar bersama empat (4) orang guru pengiring dari Kolej Vokasional Dungun, Terengganu telah mengadakan kunjungan ilmiah ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia pada 1 April 2026 (Rabu), dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang.
Kunjungan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar terhadap kemudahan pembelajaran serta sumber rujukan yang disediakan di perpustakaan universiti dalam menyokong pembangunan ilmu pengetahuan.

Sepanjang lawatan, para pelajar telah dibawa melawat ke beberapa lokasi utama perpustakaan, antaranya Kaunter Sirkulasi, Koleksi Khazanah Intelektual Johor, Galeri Zarith Sofiah, Sudut Bacaan Tan Sri Dr. Nor Saleh bin Mohd Nor serta koleksi bahan rujukan di Aras 4.
Para pelajar turut diberi penerangan mengenai kemudahan yang terdapat di setiap aras perpustakaan. Aras 1 menempatkan Kaunter Sirkulasi yang mengendalikan urusan peminjaman dan pemulangan bahan, penggunaan mesin Sistem Pinjaman Layan Diri (SPLD) serta ruang pembelajaran terbuka. Aras 2 pula menempatkan koleksi bahan bercetak dan ruang bacaan yang kondusif.

Seterusnya, Aras 3 menyediakan ruang pembelajaran interaktif dan bilik perbincangan yang menyokong pembelajaran kolaboratif, manakala Aras 4 menawarkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif melalui zon senyap, bilik karel serta koleksi khas bagi tujuan rujukan lanjutan.
Selain itu, para pelajar turut didedahkan kepada kemudahan teknologi yang disediakan, termasuk capaian rangkaian Wi-Fi UTM, penggunaan komputer serta akses kepada pelbagai sumber digital seperti buku elektronik dan jurnal dalam talian.

Kunjungan ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman para pelajar terhadap fungsi perpustakaan sebagai pusat rujukan utama serta memperkukuh kemahiran mereka dalam pencarian maklumat secara berkesan.
