Perpustakaan UTM Kuala Lumpur terus memperkukuh peranannya sebagai pusat ilmu, inovasi dan pembangunan komuniti apabila berjaya menganjurkan Bengkel Design Pintar dengan Kuasa AI pada 21 Ogos 2025 bertempat di Library XChange Hub, Aras 2, Perpustakaan UTMKL. Program komuniti ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperkasa kemahiran digital serta kreativiti masyarakat, sekali gus memperlihatkan peranan perpustakaan yang semakin meluas dalam menyokong agenda pembangunan lestari.


Bengkel ini dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah Binti Abu Bakar dari Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), UTM. Beliau telah berkongsi pengetahuan mengenai asas reka bentuk grafik serta peranan poster dan flyers dalam pemasaran, di samping memperkenalkan penggunaan perisian moden berasaskan kecerdasan buatan seperti Canva, InShot dan CapCut. Peserta turut diberi pendedahan mengenai teknik memilih elemen visual, ikon dan gambar yang sesuai untuk menghasilkan bahan grafik yang lebih menarik dan profesional serta berupaya menyampaikan informasi dengan lebih efektif.


Pelaksanaan program ini turut membuktikan peranan pustakawan sebagai fasilitator yang berupaya menghubungkan kepakaran akademik di IPT dengan keperluan komuniti. Melalui usaha ini, perpustakaan tampil sebagai pusat pemindahan ilmu, pemerkasa kemahiran digital, serta wadah kolaborasi kreatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.


Penyertaan peserta pula cukup memberangsangkan dimana mereka terdiri daripada komuniti Sri Semarak dan Sky Awani, selain Perpustakaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan warga UTM sendiri. Kepelbagaian ini membuktikan keterbukaan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan komuniti setempat dan institusi luar. Ia juga menyerlahkan fungsi perpustakaan sebagai jambatan yang menghubungkan universiti dengan masyarakat dalam ekosistem ilmu yang inklusif.


Program ini secara langsung mengangkat elemen knowledge transfer, di mana kepakaran akademik diterjemahkan kepada kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan secara terus oleh peserta. Dengan penerapan teknologi AI dalam reka bentuk grafik, peserta memperoleh kemahiran yang bukan sahaja relevan dengan keperluan semasa, tetapi juga mampu diaplikasikan untuk memperkukuh aktiviti promosi, komunikasi dan pengurusan maklumat dalam komuniti serta organisasi masing-masing.


Dari sudut pembangunan mampan, inisiatif ini menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui beberapa aspek penting. Ia menzahirkan komitmen kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Ia turut menyumbang kepada SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur dengan memperkenalkan aplikasi teknologi baharu dalam komunikasi visual. Seterusnya, ia menyokong SDG 17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat melalui penglibatan komuniti dan institusi luar dalam menjayakan program secara bersama.


Secara keseluruhan, Bengkel Design Pintar dengan Kuasa AI berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Program ini memperkukuh imej perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik, dengan pustakawan berperanan sebagai agen fasilitasi yang aktif dalam pemindahan ilmu. Inisiatif ini jelas membuktikan bahawa perpustakaan mampu berfungsi sebagai pemangkin inovasi dan kolaborasi, bukan sahaja untuk warga universiti tetapi juga untuk komuniti serta rakan strategik luar, selari dengan aspirasi UTM dalam menyokong agenda pembangunan lestari.

Share this :