Perpustakaan telah menerima satu lawatan secara terbuka dari pelajar Sarjana Muda pada 23 Mac 2021 (Selasa). Lawatan secara berkumpulan ini adalah di atas inisiatif pelajar sendiri untuk menimba pengetahuan mengenai fungsi dan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan kepada pengguna.
Melalui wakil perpustakaan, Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid, Pustakawan Kanan telah bertindak secara proaktif dengan membawa kumpulan pelajar ini ke Makmal Pencarian Maklumat, Aras 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur bagi memberi penerangan berkaitan dengan perpustakaan dengan mematuhi SOP pengguna dan menjaga jarak selamat. Pada awal penerangan, pelajar didedahkan dengan penggunaan Portal Perpustakaan sebagai medium yang membekalkan maklumat terkini berkaitan organisasi, kemudahan, perkhidmatan, berserta program yang dijalankan oleh perpustakaan.
Antara topik lain yang disampaikan kepada pelajar ialah penggunaan pencarian bahan perpustakaan melalui OPAC (OCEAN), syarat peminjaman dan pemulangan bahan dan panduan untuk mengaktifkan akaun pengguna perpustakaan bagi menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Seterusnya, penerangan mengenai tips dan cara penggunaan pangkalan data atas talian dan tidak ketinggalan penggunaan Document Management System (DMS) bagi mencari dan memuat turun artikel atau tesis teks penuh menggunakan UTM ID.
Semoga maklumat yang diperoleh ini dapat dimanfaatkan dengan baik dalam membuat pencarian maklumat untuk menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan mahasiswa UTM selain mengalakkan pelajar lain untuk ke perpustakaan bagi mendapatkan bimbingan dan nasihat kepada perkhidmatan yang disediakan. Kami sedia membantu!