Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah dikunjungi oleh SMK Sultan Ibrahim (SSI), Kulaijaya pada 27 Jun 2023 yang lepas. Seramai 98 orang pelajar dan 29 orang guru pengiring telah mengikuti sesi lawatan yang telah dikendalikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin, Cik Siti Nor Hashidah Zakaria, En Akmal Alif Amran, Puan Katini Ibrahim, Puan Suraya Jaapa, Puan Nurul Hasyimah Mahmud dan Cik Shaliza Md Yusos.
Lawatan ini adalah sinergi bersama Seksyen Rekrutmen & Kemasukan Pelajar (SRAdS) UTM JB. Peserta lawatan telah dibahagikan kepada 3 kumpulan dan sesi lawatan ini berlangsung selama 1 jam.
Peserta lawatan telah diberikan penerangan berkaitan perkhidmatan, kemudahan serta prasarana yang disediakan oleh Perpustakaan UTM kepada para penggunanya. Peserta lawatan turut dapat menyaksikan gelagat mahasiswa dan mahasiswi yang sedang tekun menyiapkan tugasan dan berdiskusi di ruangan terbuka aras 3 bangunan PSZ. Hal ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran awal kepada para pelajar mengenai apa yang menanti mereka di universiti dan bagaimana menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa.
Seterusnya, para peserta lawatan turut dibawa berkunjung ke Galerium Perpustakaan UTM yang bertempat di aras dua di mana ia menempatkan pelbagai peralatan dan perkakasan yang digunakan sejak awal penubuhan UTM.
Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat dan motivasi kepada para pelajar SMK Sultan Ibrahim Kulai agar lebih bersemangat untuk menuntut ilmu hingga ke menara gading serta mengharumkan nama sekolah.